TOKYO: Ribut tropika Jangmi melanda Jepun pagi ini membawa angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan gangguan besar terhadap sistem pengangkutan, operasi perniagaan serta bekalan elektrik kepada puluhan ribu penduduk.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), pusat ribut itu berada di luar pesisir pulau utama Honshu dan bergerak ke arah timur laut menuju kawasan metropolitan Tokyo dengan kelajuan angin berterusan mencecah 25 meter sesaat.
JMA turut memberi amaran beberapa kawasan di sepanjang pantai Pasifik berdepan risiko semakin tinggi untuk mengalami bencana yang boleh mengancam nyawa susulan cuaca buruk yang dibawa ribut berkenaan.
Ribut Jangmi, yang merekodkan tekanan pusat 980 hektopaskal (hPa), setakat ini menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada hampir 60,000 isi rumah.
Jurucakap kerajaan Jepun, Minoru Kihara berkata, pihak berkuasa sedang memantau keadaan dengan rapi ketika usaha menangani kesan ribut diteruskan.
“Jika anda merasakan sebarang ancaman, jangan teragak-agak untuk bertindak lebih awal bagi melindungi nyawa anda,” katanya.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan nasihat pemindahan kepada ratusan ribu penduduk di lapan wilayah di barat daya, tengah dan timur Jepun susulan cuaca buruk yang dibawa ribut berkenaan.
Sementara itu, syarikat penerbangan termasuk Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan hampir 900 penerbangan domestik dan antarabangsa pada pagi 3 Jun akibat keadaan cuaca yang semakin buruk.
Beberapa perkhidmatan kereta api laju (Shinkansen) di wilayah Kyushu di barat daya Jepun serta kawasan barat negara itu dilaporkan mengalami kelewatan.
Pada masa sama, syarikat kereta api East Japan Railway memaklumkan sebahagian perkhidmatan rel di kawasan Tokyo digantung, dengan lebih banyak gangguan dijangka berlaku sepanjang hari.
Sebagai langkah menghadapi cuaca buruk, pengeluar automotif Toyota Motor Corporation mengumumkan pada Selasa operasi di 13 kilang dalam negara akan dihentikan pada pagi ini.
Sementara itu, Suzuki Motor Corporation turut menghentikan operasi di semua lima kilangnya di Wilayah Shizuoka, yang terletak di barat Tokyo, pada sebelah pagi sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kesan ribut tersebut.- AGENSI











