Pelaku tembak mati guru guna senjata sama dalam enam kes lain

Pelaku tembak mati guru di Pattani gunakan senjata sama dalam enam kes lain

PONGPOL SUTTIBENJAKUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI (THAILAND): Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mendedahkan pelaku yang menyerang keluarga anggota polis sehingga menyebabkan seorang guru wanita terbunuh di Daerah Yarang di sini, pada 25 Mei lalu menggunakan tiga senjata api.

Timbalan Jurucakap ISOC 4, Kolonel Pongpol Suttibenjakul berkata, ketiga-tiga senjata api itu, raifal AK-47 dan dua pucuk pistol automatik jenama Glock, mempunyai sejarah penggunaan menyerang pasukan keselamatan dan orang awam dalam enam kes sejak 2023.

Keputusan ujian forensik terhadap lebih 11 kelongsong peluru ditemukan di tempat kejadian mendapati, ketiga-tiga senjata api itu pernah digunakan dalam enam kes menyerang orang awam dan anggota polis sehingga menyebabkan kematian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Raifal AK-47 pernah digunakan dalam tiga serangan yang membunuh dua anggota polis dan seorang penduduk kampung di Daerah Yarang pada 2024, 2025 dan terbaharu serangan terhadap keluarga guru berkenaan.

“Ujian terhadap Glock pertama pula mendapati pistol itu adalah senjata api rasmi milik anggota Balai Polis Yarang, Ko­peral Songchai Chantharapap. Songchai ditembak mati bersama Sarjan Decho Khiaokaew dalam kejadian di pusat pemeriksaan Yarang pada 19 Februari 2025 sebelum penyerang melarikan senjata api itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ujian terhadap Glock kedua mendedahkan kaitannya dengan satu kes penemuan kelongsong dan peluru yang digantung pada tiang elektrik di Daerah Thep­ha, Wilayah Songkhla pada 3 Januari 2023.

Katanya, pihak berkuasa Wi­layah Pattani, Narathiwat dan Yala memperhebat gerakan memburu suspek yang dipercayai terbabit dalam semua kes berkenaan. Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang guru wanita maut ditembak ketika sedang memangku bayi lelakinya berusia dua bulan dalam satu serangan bersenjata di hadapan sebuah sekolah di Daerah Yarang.

Kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa Fatimah Yango, 35, bersama bayi dan suami yang merupakan anggota polis berpangkat sarjan sedang menunggu untuk mengambil seorang lagi anak mereka yang bersekolah di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini