Aidiladha: Penduduk lega hujan pulihkan air telaga tiub

Aidiladha: Penduduk lega hujan pulihkan air telaga tiub

ZULKIFLI Mat Yasir menadah air dari telaga tiub untuk kegunaan harian dan menyiram tanaman di Kampung Tok Deh Barat, Rantau Panjang, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penduduk di Kampung Tok Deh Barat di sini, mampu menarik nafas lega apabila masalah air telaga tiub kering akibat kemarau sejak tiga bulan lalu pulih selepas hujan kembali membasahi ne­geri ini, sejak dua ming­gu lalu.

Situasi itu sekali gus melegakan penduduk yang sebelum ini terpaksa berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air sehingga ada yang memunggah air dari Sungai Golok untuk kegunaan harian.

Seorang penduduk, Zulkifli Mat Yasir, 40, berkata, majoriti penduduk di kampung ber­kenaan bergantung sepenuhnya kepada sumber air dari telaga tiub.

Katanya, musim kemarau sebelum ini menyebabkan sumber air bawah tanah menjadi kering dan menjejaskan rutin harian penduduk.

“Alhamdulillah, keadaan kembali pulih sejak dua minggu lalu sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk menyambut Hari Raya Aidil­adha. Untuk persiapan Aidiladha ini, saya sudah menyimpan air dalam tangki besar supaya mencukupi jika adik-beradik di perantauan pulang beraya.

“Setakat dua minggu ini bekalan air mencukupi dan saya harap keadaan ini berterusan sehingga habis cuti sekolah kerana memerlukan banyak air untuk kegunaan sanak saudara yang pulang beraya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Azizah Abdullah, 70, berkata, ketika kemarau melanda sebelum ini, keadaan Sungai Golok menjadi cetek sehingga menyu­karkan penduduk mendapatkan bekalan air.

“Ketika itu musim kemarau dan air di Sungai Golok menjadi cetek. Tetapi syukur sekarang hujan hampir setiap hari menyebabkan masalah air boring untuk kegunaan urusan harian kembali ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×