PETALING JAYA: Sebarang usaha memberikan perlindungan undang-undang yang sama kepada pasangan yang tinggal sebumbung tanpa nikah akan meruntuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.
Sehubungan itu, kerajaan tidak wajar meminda Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521) bagi memasukkan perlindungan terhadap pasangan intim (IPV) yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, amalan tinggal sebumbung tanpa ikatan yang sah tidak wajar digalakkan apatah lagi dinormalisasikan kerana ia bercanggah dengan prinsip kemoralan dan adat tempatan di Malaysia.
Katanya, Mereka perlu sedar bahawa hubungan sedemikian mempunyai risiko tersendiri dan sebarang pertikaian atau keganasan yang berlaku sewajarnya diadili di bawah undang-undang awam seperti jenayah dan tort.
“Isu keganasan rumah tangga perlu diurus berdasarkan kerangka undang-undang serta adat tempatan yang diamalkan di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Fauzi, terdapat perbezaan jelas antara kes melibatkan pasangan suami isteri yang sah dengan hubungan tanpa ikatan perkahwinan yang diiktiraf undang-undang.
“Bagi orang Islam, selagi isu yang berlaku masih dalam kerangka undang-undang diri dan keluarga maka kes tersebut diadili mengikut undang-undang negeri masing-masing.
“Undang-undang diri dan keluarga sedia ada sudah memberikan perlindungan kepada pasangan serta ahli keluarga mereka, manakala kesalahan jenayah pula tertakluk di bawah undang-undang awam dan dibicarakan di mahkamah sivil,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, undang-undang juga tidak seharusnya hanya bersifat menghukum selepas sesuatu jenayah berlaku sebaliknya perlu menekankan elemen pencegahan dan pendidikan kepada masyarakat.
Katanya, pihak berkuasa berkaitan termasuk pejabat agama daerah (PAID) dan mahkamah syariah boleh memainkan peranan lebih aktif dalam memantau serta menganalisis kes berkaitan rumah tangga bagi merangka polisi dan langkah pencegahan yang lebih berkesan.
“Kerajaan dan rakyat perlu insaf bahawa keruntuhan institusi rumah tangga dan keluarga akan mengakibatkan malapetaka lebih besar kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mahu Akta Keganasan Rumah Tangga dikaji semula supaya meliputi keganasan pasangan intim termasuk melibatkan pasangan belum berkahwin.
WAO mendedahkan sebanyak 30,772 kes keganasan terhadap wanita direkodkan sepanjang tempoh lima tahun sehingga tahun lalu selain peningkatan kes keganasan rumah tangga, gangguan seksual serta IPV.
Jumlah kes keganasan rumah tangga membabitkan golongan wanita juga dilaporkan meningkat daripada sebanyak 1,162 kes pada 2024 kepada 1,759 kes bagi tahun 2025.
Pertubuhan itu malah turut menggesa kerajaan mengguna pakai pendekatan berpusatkan pemandiri (survivor-centric approach) dalam penggubalan dasar serta pelaksanaan undang-undang berkaitan keganasan domestik. – UTUSAN










