SEPANG: Nasib 428 peserta misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dari 40 negara termasuk 29 rakyat Malaysia yang dipintas tentera rejim Zionis malam kelmarin masih belum diketahui.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal terakhir yang ditahan ialah Zefiro dan Alcyone yang dilapor berada ‘paling depan’ dan berada pada kedudukan 80 batu nautika dari pantai Gaza.
Katanya, semua kapal dalam misi bantuan kemanusiaan telah berdepan tindakan agresif termasuk dipintas secara haram, dikepung dan sebahagiannya diserang ketika cuba meneruskan perjalanan ke Gaza.
“Laporan awal serta bukti visual menunjukkan kapal Sirius diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi selain dirempuh secara agresif oleh sebuah kapal tentera laut Israel yang dikenal pasti dengan identiti A833D.
“Turut dirakamkan tembakan ke arah kapal Girolama dan Elengi dalam insiden berkenaan.
“Kesemua aktivis terdiri daripada doktor, pengamal media, kapten, kru kapal serta pembela hak asasi manusia dipercayai ditahan dari kapal masing-masing di bawah ancaman senjata sebelum dipindahkan secara paksa ke kapal perang rejim,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sani Araby berkata, semua aktivis terbabit dipercayai telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Katanya, berdasarkan pengesahan bilik gerakan SNCC, empat lagi rakyat Malaysia telah disahkan antara yang ditahan.
“Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai yang berada di kapal Alcyone, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (Don Juan) serta Noor Thanisah Mohammad Tajudin (Zefiro),” katanya.
Sementara itu, seramai 87 aktivis di atas kapal-kapal GSF yang ditahan, dilaporkan melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan mereka serta tanda solidariti dengan tahanan Palestin di penjara Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menerusi hantaran di platform X, GSF memaklumkan bahawa buat kali kedua dalam tempoh tiga minggu, tentera Israel yang mendakwa sebagai ‘tentera paling bermoral’ telah menculik rakan-rakan mereka di perairan antarabangsa.
Menurut GSF, sebagai bantahan terhadap penculikan yang menyalahi undang-undang dan tanda solidariti dengan lebih 9,500 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel, sekurang-kurangnya 87 peserta GSF berikrar untuk melancarkan mogok lapar sehingga mereka dibebaskan.-UTUSAN.










