PETALING JAYA: Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) menafikan terdapat unsur transaksi pihak berkaitan dalam pelaksanaan Block 7 Investments LLC (Block 7) yang menganugerahkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) bernilai RM7.7 bilion, April tahun lalu.
Serba Dinamik juga menjelaskan, syarikat hanya pemegang saham minoriti tidak langsung dan Block 7 diperbadankan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan bukan di Amerika Syarikat seperti yang dilaporkan.
Syarikat menerusi subsidiari milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL) meraih kontrak daripada Block 7 bagi kejuruteraan, EPC hab inovasi, kampus akademik, yang berkaitan kemudahan berkaitan dan infrastruktur teknologi maklumat (IT) di Abu Dhabi.
“Bagi memperkukuhkan pengembangan perniagaan Serba Dinamik menjadi model pemilikan aset strategik, pemilikan milik Block 7 telah dipindahkan kepada EFIRE Capital Holdings Limited (EFIRE). EFIRE dimiliki oleh LIWA Investment Holding (LIWA) dan SDIL masing-masing dengan 51 dan 49 peratus.
“Setelah selesai pemindahan, EFIRE dan LIWA memiliki Block 7 masing-masing dengan pegangan saham 99 dan satu peratus. Oleh itu, SDIL adalah pemegang saham minoriti tidak langsung di dalam Block 7 berkuat kuasa 2 Mac lalu,” menurutnya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai urus niaga Serba Dinamik dalam Block 7.
Dengan peluang mengambil bahagian dalam projek ini sebagai kontraktor EPC, SDIL dapat mengembangkan segmen perniagaan EPCnya.
Selain itu, dengan penyertaannya sebagai pemegang saham ekuiti, SDIL juga berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan dalam penyelenggaraan dan pemeliharaan projek seterusnya memperoleh keuntungan daripada pendapatan stabil jangka panjang.
Berdasarkan perkara di atas, Serba Dinamik ingin mengesahkan bahawa tidak ada unsur kepentingan pihak berkaitan sebagaimana yang dinyatakan.
Struktur seperti yang dijelaskan di atas dilakukan demi kepentingan Serba Dinamik untuk penciptaan nilai pemegang saham jangka panjang dan kestabilan pendapatan. – UTUSAN










