PETALING JAYA: Penduduk Malaysia mencecah 34.4 juta pada suku pertama tahun ini, meningkat daripada 34.2 juta suku sama tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagaimanapun, pertumbuhan penduduk Malaysia terus merosot pada kadar 0.5 peratus dengan kelahiran hidup menurun sebanyak 3.1 peratus.
Pada masa sama, komposisi penduduk tua berusia 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 7.9 peratus kepada 8.0 peratus, sementara penduduk umur muda iaitu 14 tahun dan ke bawah, merekodkan penurunan daripada 21.8 peratus kepada 21.6 peratus.
Perkembangan itu meletakkan Malaysia ke arah negara menua dengan lebih cepat berbanding jangkaan.
Menurut laporan, Malaysia secara rasmi telah menjadi negara menua (ageing society) sejak 2021 apabila populasi berumur 65 tahun ke atas mencecah tujuh peratus.
Dan Malaysia diunjur menjadi negara tua menjelang 2048, dengan 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, etnik Melayu menyumbang 58.3 peratus daripada penduduk, peningkatan daripada 58.2 peratus pada suku sama 2025.
“Komposisi penduduk bumiputera lain dan etnik India kekal tidak berubah berbanding suku pertama 2025 iaitu masing-masing pada 12.3 peratus dan 6.5 peratus.
“Sementara itu, etnik Cina mencatatkan penurunan kepada 22.1 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 22.2 peatus pada suku yang sama 2025,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd. Uzir berkata, bilangan kelahiran hidup terus merekodkan penurunan sebanyak 3.1 peratus pada suku dilaporkan kepada 94,807 kelahiran berbanding 97,843 kelahiran dengan bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 49,137 berbanding 45,670.
“Nisbah jantina ketika lahir ialah 108 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.
Beliau berkata, Selangor merekodkan kelahiran hidup tertinggi dengan 17,990 kelahiran (19 peratus), manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 294 kelahiran (0.3 peatus).
Katanya, Melayu menyumbang 69.5 peatus daripada jumlah kelahiran hidup sementara etnik Cina dan India masing-masing menurun kepada 7.4 peatus dan 3.8 peratus.
Selain itu, ibu berumur 30 sehingga 39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 50,917 kelahiran atau 53.7 peratus diikuti ibu berumur 20 hingga 29 tahun mencatatkan 38.4 peratus.
“Bagi ibu berumur 40 tahun dan lebih (6.4 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.4 peratus). Secara purata, seorang bayi dilahirkan bagi setiap satu minit, 44 bayi bagi setiap jam dan 1,053 bayi sehari pada suku pertama 2026,” katanya.
Katanya, sebanyak 49,139 kematian telah direkodkan, menurun 1.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2025 (49,863 kematian).
“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,162 manakala 20,977 kematian bagi perempuan. Nisbah jantina kematian ialah 134 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 8,042 kematian (16.4 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 81 kematian (0.2 peratus).
“Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 35,130 kematian (71.5 peratus), diikuti 41 hingga 59 tahun (19.9 peratus),15 hingga 40 tahun (6.8 peratus) dan 0 hingga 14 tahun (1.8 peratus),” katanya. – UTUSAN










