Kontrak bukan konfeti – Anwar

Kontrak bukan konfeti – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mem­bantah keras tindakan Norway membatalkan saat akhir lesen eksport sistem peluru berpandu anti kapal (NSM) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bantahan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan te­lefon dengan Perdana Menteri Nor­way, Jonas Gahr Støre kel­marin.

Susulan itu, kerajaan menu­buhkan jawatankuasa untuk meneliti tindakan undang-un­dang dan tuntutan terhadap syarikat Norway ekoran pembatalan kontrak berkenaan.

Perdana Menteri berkata, alasan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu NSM untuk melindungi keselamatan Oslo tidak boleh diterima.

“Jika pembekal pertahanan Eropah berhak untuk menging­kari tanpa hukuman, nilai me­reka sebagai rakan kongsi stra­tegik akan terhakis,” katanya di Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, Malaysia telah memenuhi semua kehendak di bawah kontrak itu sejak 2018 dengan berhemah.

Malah tegas Anwar, kontrak yang dimeterai juga merupakan komitmen serius yang perlu dihormati semua pihak.

“Kontrak yang ditangatangani adakah dokumen yang mengikat. Ia bukan konfeti yang boleh diperlakukan sesuka hati.

“Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka berhak untuk mengingkari tanpa sebarang akibat, nilai mereka sebagai rakan kongsi strategik akan lenyap sama sekali.

“Norway tidak menunjukkan layanan serta kepercayaan yang baik terhadap Malaysia meskipun negara ini telah memenuhi setiap obligasi yang dipersetujui di bawah kontrak tersebut,” katanya.

Anwar turut berkata, keputusan itu akan memberikan kesan buruk kepada kesediaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

“Ia akan memberi kesan besar untuk keseimbangan serantau,” katanya.

MOHAMED Khaled Nordin menyerahkan peranti Program e-PERKASA SPM 2026 kepada wakil pelajar, Nur Anisah Humairah
di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti proses tindakan undang-undang dan jumlah tuntutan terhadap syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan kontrak berkenaan.

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi menuntut segala bayaran yang sudah dilunaskan selain menilai segala kerosakan yang berlaku kesan daripada pelanggaran kontrak oleh syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).

“Walaupun kapal berkenaan dapat disiapkan, ia masih tidak dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) yang sudah ditempah sejak tahun 2018.

“Jadi, kita perlu mencari sistem peluru berpandu lain sebagai pengganti. Kalau menggunakan sistem baharu, ia memerlukan latihan semula dan proses integrasi dengan sistem lain dalam kapal. Semua itu akan diambil kira sebagai kerugian akibat pelanggaran kontrak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) 2026.

Menurut beliau, terdapat dua kontrak utama yang terlibat, satu untuk keperluan kapal LCS dan satu lagi bagi kapal kelas frigat iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat dengan keseluruhan nilai melebihi RM600 juta.

Malaysia katanya, telah pun membayar kira-kira 95 peratus daripada kos tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan menilai sistem persenjataan lain sebagai ganti kepada NSM antaranya sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM).

“Saya percaya perkara ini tidak akan menjejaskan keseluruhan projek dan yang penting proses penggantian kepada sistem baharu itu tidak menjejaskan jadual penghantaran kapal LCS yang dijangka akan dilaksanakan pada Disember nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×