PETALING JAYA: Pada ketika kalendar 2026 sudah pun menghampiri ke suku ketiga, bayangan ketua jurulatih pecut negara sehingga kini masih belum dilantik Olahraga Malaysia (MA).
Ketiadaan individu di kerusi panas itu mencetuskan tanda tanya mengenai hala tuju kuartet 100 meter (m) negara memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA edisi ke-34 pada 18 hingga 29 September 2027.
MA sebelum ini melakukan penstrukturan semula terhadap barisan kejurulatihan kebangsaan dengan melantik empat ketua jurulatih bagi setiap disiplin utama iaitu pecut, lompatan, balingan serta larian jarak sederhana dan jauh.
Di bawah struktur sedia ada, Manshahar Abdul Jalil telah pun menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih lompatan manakala Khalid Alqawati dari Jerman mengetuai disiplin balingan serta Mohamed Azarudeen dari India membimbing jarak sederhana dan jauh.
Difahamkan, badan induk olahraga negara itu cuba untuk membawa masuk kepakaran dari Jamaica bagi membimbing skuad pecut kebangsaan, namun kekangan kewangan menjadi punca usaha tersebut tidak dapat diteruskan.
Tahun ini, skuad olahraga negara mempunyai dua temasya penting iaitu Sukan Komanwel pada 23 Julai hingga 2 Ogos ini sebelum menghadapi Sukan Asia pada 19 September hingga 4 Oktober dan kemuncaknya pada Sukan SEA 2027.
Mengulas lanjut, pemerhati sukan, Datuk Pekan Ramli berkata, jika masalah kewangan menjadi halangan utama MA membawa jurulatih berkualiti dari luar negara, badan induk itu boleh menghantar atlet pecut negara untuk berguru di luar negara.
Jelasnya, ketika ini, selain Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Malaysia tidak mempunyai ramai atlet pecut yang konsisten dan itu membolehkan mereka dihantar untuk berguru di luar negara.
“Tak ramai atlet pecut kita yang boleh buat bawah 10.30 saat (s) atau 10.20s secara konsisten dan kalau sebab duit jadi masalah utama, mungkin MA boleh hantar atlet kita ke luar negara tiga atau empat bulan sebelum Sukan SEA.
“Kita tiada atlet yang buat bawah 10s dan untuk melakukannya ia tidak boleh capai dengan mudah dan nak ambil jurulatih dari luar bayarannya mahal tetapi kita masih boleh menghantar atlet kita berguru dengan jurulatih yang dimahukan,” katanya. – UTUSAN










