Pasukan Malbatt 850-13 kekal di Lubnan

Pasukan Malbatt 850-13 kekal di Lubnan

MALEK RAZAK SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 akan terus menjalankan tugas dan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun berhadapan dengan situasi tegang susulan serangan Israel ke atas Lubnan sejak beberapa bulan lalu

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, penghantaran pasukan itu merupakan persefahaman negara dengan PBB bagi melaksanakan tugas di negara berkenaan.

Katanya, situasi keselamatan semasa di sana juga sentiasa dipantau rapi bagi memastikan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap terbaik.

“Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi anggota di sana dikekalkan,” katanya ringkas semalam.

Beliau mengulas insiden le­tupan dipercayai dron yang tidak dikenal pasti berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang (waktu Malaysia) berhampiran Malaysia House iaitu kemudahan rehat bagi lima pegawai ATM yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera (PST).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun insiden tersebut tidak melibatkan anggota ATM.

Katanya, lokasi berkenaan berada kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama Malbatt 850-13 di selatan Lubnan.

Menurutnya, sebelum kejadian, kira-kira jam 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi.

Letupan berkenaan dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter dari Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.

“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan membabitkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL, memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker ketika kejadian berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN