Pas Pulau Pinang dakwa isu seleweng dana zakat masih berlaku

Pas Pulau Pinang dakwa isu seleweng dana zakat masih berlaku

MUHAMMAD Hafiz Alias (kiri) bersama Mohd. Yusni Mat Piah (tengah) dan Muhammad Fauzi Yusoff (kanan) ketika sidang akhbar mengenai isu zakat di Bangunan DUN Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pas Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terbaharu melibatkan salah tadbir urus dana zakat dan urusan pentadbiran dalam Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta Zakat MAINPP.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Alias berkata, laporan itu dibuat susulan beberapa pendedahan yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan pelantikan terus pegawai tanpa proses temu duga, pelantikan pegawai yang didakwa tidak memenuhi syarat kelayakan serta penukaran status pinjaman dana zakat kepada pemberian

“Kita ambil serius perkara ini kerana ia melibatkan wang zakat yang sepatutnya dimanfaatkan untuk golongan asnaf. Justeru, kita mahu SPRM siasat sama ada wujud salah guna kuasa atau pelanggaran tatakelola dalam pengurusan dana terbabit,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mohd. Yusni Mat Piah dan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Sebelum ini, 63 individu termasuk ahli lembaga zakat, pegawai kanan kerajaan, mufti dan setiausaha kerajaan negeri telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana zakat khususnya berkaitan urusan pembelian tanah.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz mendakwa, terdapat transaksi wang zakat berjumlah kira-kira RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi seorang pegawai ketika urusan rombongan ke Mesir bagi program berkaitan pelajar Pulau Pinang.

Selain itu, pihaknya turut mempersoalkan tindakan menukar status pinjaman dana zakat yang didakwa berjumlah RM16 juta kepada pemberian menerusi keputusan mesyuarat MAINPP.

“Kita mahu penjelasan bagaimana wang zakat boleh ditukar status daripada pinjaman kepada pemberian dan digunakan atas nama asnaf. Perkara ini perlu diperhalusi kerana ia melibatkan hukum serta amanah kepada pembayar zakat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusni mendakwa, berlaku pemusatan kuasa apabila terlalu banyak jawatan berkaitan institusi agama dan zakat dipegang individu sama dalam pentadbiran negeri sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus serta ketelusan pihak yang berkenaan dalam membuat keputusan melibatkan dana awam dan zakat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×