WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan untuk menyambung semula serangan ke atas Iran ketika rundingan damai antara kedua-dua negara terus menemukan jalan buntu.
Menurut laporan Axios yang memetik tiga pegawai AS, Presiden Donald Trump berkemungkinan melancarkan semula kempen pengeboman terhadap Iran.
Ahad lalu, Trump menolak syarat terbaharu Iran dengan menyifatkannya sebagai ‘langsung tidak boleh diterima’, termasuk memberi amaran gencatan senjata yang dicapai kira-kira sebulan lalu kini ‘dalam keadaan amat rapuh’.
Axios melaporkan, Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan pasukan keselamatan negaranya kelmarin bagi membincangkan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan mengaktifkan semula Projek Pembebasan, operasi yang bertujuan mengiringi kapal melalui Selat Hormuz.
Perbincangan itu dilaporkan turut meliputi rancangan menyambung semula serangan udara dan menyerang baki 25 peratus sasaran yang dikenal pasti Pentagon, belum diserang.
Sementara itu, Washington Post yang memetik penilaian Agensi Perisikan Pusat (CIA) melaporkan Iran masih memiliki kira-kira 75 peratus pelancar mudah alih pra-perang dan 70 peratus peluru berpandu, selain berupaya bertahan terhadap sekatan laut AS sekurang-kurangnya selama tiga hingga empat bulan.
Trump menggantung Projek Pembebasan dalam tempoh kurang 24 jam selepas mengumumkannya minggu lalu susulan permintaan Pakistan, yang bertindak sebagai orang tengah dalam konflik tersebut.
NBC kemudian melaporkan, Trump membatalkan inisiatif berkenaan selepas Arab Saudi enggan membenarkan AS menggunakan pangkalan dan ruang udaranya untuk mengiringi kapal melalui Selat Hormuz.
Perunding tertinggi Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pada Ahad berkata, AS tiada pilihan selain menerima syarat yang ditetapkan Teheran.
“Lebih lama mereka berlengah, lebih banyak wang pembayar cukai Amerika akan dibelanjakan,” katanya menerusi platform X.
Media kerajaan Iran pula menyifatkan tuntutan Trump supaya negara itu menutup tapak nuklearnya sebagai ‘sesuatu yang tidak boleh dan ditolak Iran selama beberapa dekad’.
DIPLOMASI GAGAL
Menurut tiga pegawai AS, Trump masih mahu mencapai perjanjian untuk menamatkan perang. Namun, keengganan Iran ‘tunduk’ kepada beberapa tuntutannya dan membuat konsesi terhadap program nuklear menyebabkan pilihan ketenteraan kembali menjadi pertimbangan presiden AS itu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Trump secara terbuka berulang kali mengancam untuk mengebom infrastruktur di Iran sekiranya diplomasi gagal.
AS dilaporkan menunggu selama 10 hari bagi mendapatkan maklum balas Iran terhadap draf cadangan Washington untuk menamatkan perang.
Rumah Putih sebelum ini optimis kononnya pendirian Iran akan menunjukkan kemajuan ke arah perjanjian damai. Bagaimanapun, maklum balas yang diterima pada Ahad disifatkan negatif.
Pegawai AS mendakwa, mesyuarat pada Isnin disertai Naib Presiden AS, JD Vance, Utusan Khas Rumah Putih, Steve Witkoff; Setiausaha Negara, Marco Rubio; Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth; Pengerusi Ketua Turus Bersama, Dan Caine serta Pengarah CIA, John Ratcliffe.
“Saya ada rancangan. Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval sebelum mesyuarat itu berlangsung.
Trump mendakwa, Iran sebelum ini bersetuju menyerahkan stok uranium diperkaya kepada AS tetapi Teheran mengubah pendirian apabila perkara itu tidak lagi disebut dalam maklum balas terbaharu mereka.
Beliau juga mendakwa kepimpinan Iran kini berpecah antara golongan sederhana dan ‘gila’.
Sementara itu, harga minyak dunia terus meningkat dalam dagangan awal susulan kenyataan Trump berhubung kemungkinan konflik kembali memuncak.
Kerajaan Israel pula mahu Trump mengarahkan Pasukan Khas bagi menguasai stok uranium diperkaya Iran.
Namun, pegawai Israel berkata, Trump masih teragak-agak untuk meluluskan operasi itu kerana menyifatkannya sebagai berisiko tinggi.
Trump dijangka berlepas ke China pada Rabu dan pulang pada Jumaat. Dua pegawai AS berkata, mereka tidak menjangka Trump akan mengarahkan tindakan ketenteraan terhadap Iran sebelum beliau pulang dari lawatan tersebut.










