TNB ThunderStars buru tiga mata hadapi UiTM 

TNB ThunderStars buru tiga mata hadapi UiTM 

TNB ThunderStars memburu tiga mata menentang UiTM dalam aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini. - IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jurulatih TNB ThunderStars, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor menuntut anak-anak buahnya memburu tiga mata menentang UiTM dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM)di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Madzli berkata, kemenangan ke atas UiTM amat penting sebagai tonik tambahan sebelum mereka menyusun strategi bagi aksi seterusnya bertemu pendahulu liga, Maybank.

Begitu pun, Madzli menegaskan pemainnya tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan lawan malah menjadikan pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkesudahan menang 7-2, kelmarin sebagai pengajaran.

“Untuk perlawanan menentang UiTM, kami akan pastikan untuk mendapatkan tiga mata. Cumanya, dalam aksi itu nanti kami juga akan melihat perancangan untuk perlawanan seterusnya bertemu Maybank.

“Apa yang pasti, pemain tidak boleh pandang rendah (lawan). Semalam (kelmarin) kita seolah-olah ambil mudah ketika berdepan ATM. Jadi, untuk aksi hari ini, kita perlu memburu gol awal untuk mengawal permainan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kekuatan lawan, Madzli mengakui barisan pemain muda UiTM memiliki kualiti tersendiri yang mampu merosakkan pelan taktikal pasukannya jika mereka tidak berwaspada.

“Saya lihat pemain UiTM boleh bermain dengan baik. Mereka mempunyai pemain yang berkemampuan untuk mengganggu sistem dan taktikal pasukan kami. Fokus pemain harus berada pada tahap tertinggi sepanjang perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, persediaan TNB ThunderStars sedikit terganggu apabila dua tonggak pasukan, Muhammad Najib Abu Hassan dan Norsyafiq Sumantri berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×