Myanmar dakwa dilayan tidak adil dalam ASEAN - Utusan Malaysia

Myanmar dakwa dilayan tidak adil dalam ASEAN

U HAU KHAN SUM - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Myanmar mendakwa langkah-langkah ‘diskriminasi’ menyebabkan negara itu disisihkan daripada blok ASEAN, selepas satu sidang kemuncak minggu lalu menunjukkan organisasi serantau itu terus memulaukan kepimpinannya pasca-rampasan kuasa.

ASEAN yang dianggotai 11 negara menjauhkan Myanmar daripada sidang kemuncak sejak tentera negara itu menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi pada 2021 serta menahan tokoh demokrasi tersebut. Ia kemudian mencetuskan perang saudara.

Selepas lima tahun pemerintahan tentera, junta Myanmar mengadakan pilihan raya yang dikawal ketat tanpa penyertaan parti Suu Kyi dan bulan lalu menyaksikan ketua tentera, Min Aung Hlaing mengambil alih jawatan presiden.

Dalam sidang kemuncak ASEAN di Filipina minggu lalu, Presiden negara tuan rumah, Ferdinand Marcos Jr. menyatakan masih tiada sebarang kemajuan di Myanmar.

Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, U Hau Khan Sum mewakili negara itu dalam sidang kemuncak ASEAN.

Kementerian Luar Myanmar dalam satu kenyataan mendakwa perkembangan positif di Myanmar telah diiktiraf oleh majoriti negara anggota ASEAN.

Ia berkata, penglibatan yang tidak membina dengan kerajaan baharu Myanmar akan mengabaikan kehendak sebenar rakyat Myanmar yang telah menggunakan hak demokrasi mereka dalam pilihan raya.

“Sepanjang lima tahun lalu, walaupun berdepan layanan tidak adil susulan pendirian beberapa negara anggota ASEAN, Myanmar telah menunjukkan kesabaran,” tambah kementerian itu.

Walaupun tidak menamakan negara tertentu, Myanmar turut menuduh beberapa negara campur tangan dalam urusan dalaman Myanmar melalui kritikan dan tekanan.

Myanmar sebelum ini menggunakan bahasa serupa untuk mengkritik Timor-Leste, anggota terbaharu blok itu, selepas sebuah mahkamah di Dili membuka kes terhadap Aung Hlaing atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Aktivis hak asasi di Indonesia yang merupakan negara majoriti penduduknya beragama Islam turut memfailkan aduan kepada peguam negara negara itu, menuduh junta yang dipimpinnya melakukan kekejaman termasuk genosid terhadap minoriti Rohingya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×