Serangan jantung 'pembunuh' senyap atlet

Serangan jantung ‘pembunuh’ senyap atlet

Pemeriksaan awal penting bagi setiap atlet untuk mengesan penyakit jantung. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik tubuh sasa dan tahap kecergasan luar biasa dimiliki atlet, wujud satu ancaman ‘senyap’ yang sering terlepas pandang iaitu penyakit kardiovaskular melibatkan risiko serangan jantung ketika atau selepas bersukan.

Kes membabitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjadi antara contoh paling jelas bagaimana pemeriksaan kardio mampu menyelamatkan nyawa seorang atlet bertaraf dunia.

Pada 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka selepas dikesan mengalami masalah Anomalous Aortic Origin of Right Coronary Artery (AAORCA), keadaan yang boleh membawa kepada serangan jantung serta kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Lebih menakutkan, beliau sendiri ketika itu masih aktif di peringkat tertinggi dunia dan sedang bersiap untuk memburu emas Olimpik Paris 2024, namun pemeriksaan lanjut berjaya mengesan masalah tersebut sebelum tragedi lebih buruk berlaku.

Persoalannya berapa ramai lagi atlet di negara ini sama ada profesional, semi profesional mahupun amatur yang tidak pernah menjalani pemeriksaan jantung secara menyeluruh sepanjang karier bersukan.

Isu itu semakin mendapat perhatian global susulan beberapa insiden kematian mengejut melibatkan atlet ketika latihan atau pertandingan dalam pelbagai sukan termasuk bola sepak, badminton, olahraga dan berbasikal.

Pakar Perubatan Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, pemeriksaan berkala sangat penting terutama individu yang berumur 35 tahun ke atas dan terlibat dalam aktiviti sukan.

“Pemeriksaan ini bertujuan untuk menilai tahap kesihatan dan mengenalpasti masalah kesihatan jantung dari awal serta mengurangkan risiko kematian mengejut ketika bersukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Dr.Munawwar, semua atlet negara yang berada dalam Program Road To Gold (RTG), Podium dan Pelapis diwajibkan menjalani Preparticipation Evaluation (PPE) setiap tahun di bawah kendalian ISN.

“Pemeriksaan kesihatan ini meliputi juga pemeriksaan jantung bagi memastikan atlet berada pada tahap kesihatan yang optimum.

“Semua atlet dan sesiapa yang hendak terlibat dalam apa jenis sukan, perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala dan mendapatkan rawatan segera dengan doktor jika mempunyai simptom-simptom penyakit jantung seperti sakit dada, sesak nafas, berdebar-debar (palpitations),” katanya.

Kelmarin, arena sukan negara dikejutkan dengan kematian bekas pemain ragbi kebangsaan, Mohamad Khairul Abdillah akibat serangan jantung, sehari selepas beraksi dalam saingan Piala Agong ketika mewakili Kelantan menentang PDRM.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dunia sukan turut dikejutkan dengan beberapa kes tragis termasuk pemain bola sepak yang rebah di padang, pelari maraton meninggal dunia ketika perlumbaan serta pemain badminton remaja China, Zhang Zhijie yang tumbang ketika kejohanan antarabangsa.

Sebelum ini, Institut Jantung Negara (IJN) mendedahkan kematian jantung mengejut atau sudden cardiac death (SCD) dalam kalangan atlet dianggarkan berlaku antara satu daripada 40,000 hingga 80,000 atlet setiap tahun di seluruh dunia, kebanyakannya berpunca daripada masalah jantung yang tidak pernah dikesan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×