Renjer maut, empat cedera letupan bom di Narathiwat

Renjer maut, empat cedera letupan bom di Narathiwat

KEADAAN lokasi letupan bom di Jalan Sungai Golok-Waeng di Narathiwat, Thailand hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Seorang anggota renjer maut, manakala empat lagi termasuk dua orang awam parah dalam satu letupan bom di Jalan Sungai Golok-Waeng, Mukim Kayu Khla di Daerah Waeng, di sini hari ini.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika sepasukan anggota renjer dalam perjalanan untuk menyambut kedatangan Komander Pasukan Renjer Wilayah Sempadan Selatan di Waeng.

Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, letupan itu menyebabkan kenderaan perisai dinaiki tiga anggota renjer terbabit melambung dan kemudian terbalik menyebabkan Sarjan Adisorn Khambunchuey meninggal dunia.

Katanya, susulan itu dua lagi anggota renjer, Staf Sarjan Komkrit Rittiphai dan prebet Pongsakorn Saenbunmee cedera parah. 

“Pada masa sama pihak berkuasa menerima laporan mengatakan dua orang awam turut parah akibat terkena tembakan.

“Pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana dua orang awam itu, Nipattapon Teowcharoentham dan Asakdinan Awae, boleh berada di situ dan cedera akibat tembakan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sumber memberitahu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kumpulan pemisah telah menanam bom di jalan berkenaan dan menggunakan alat kawalan jauh untuk meletupkannya.

Katanya, pasukan keselamatan sudah mengepung kawasan terbabit dan menyekat laluan bagi membolehkan Pasukan Pemusnah Bom dan Unit Forensik Polis Wilayah Narathiwat menjalankan siasatan dan mengumpul bukti.

“Arahan daripada pihak berkuasa yang lebih tinggi telah dikeluarkan untuk menyediakan pusat pemeriksaan sementara bagi menghalang pelaku daripada menggunakan laluan berkenaan untuk melarikan diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×