Kerajaan kaji subsidi RON95 golongan kaya

Kerajaan kaji subsidi RON95 golongan kaya

ANWAR Ibrahim pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan subsidi petrol untuk ­golongan berpendapatan tinggi bagi mem­bantu negara mengharungi ke­adaan ekonomi semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cada­ngan tersebut sudah diteliti ­oleh Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK), Tan Sri Mohd. Hassan Marican di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, kerajaan me­la­kukan penilaian teliti pende­katan sesuai mengenai cada­ngan pemotongan subsidi bagi golongan berkenaan bagi memastikan ia boleh dilaksanakan secara berkesan dan tidak menjejaskan kumpulan itu.

“Cuma tidak pasti sama ada T2O atau T15, supaya tidak membebankan kelas mene­ngah atas dan kemudian mudah pelaksanaannya,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), P. Prabakaran.

Sebelum ini, media me­laporkan, Pemuda UMNO akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan T20 ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebagai antara resolusi utama hasil Rundingan Meja Bulat Nasio­nal (Rimbun 2.0).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu pen­ting ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat ketika ini.

Menurutnya, subsidi yang dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.

Golongan T20 merujuk kepada isi rumah berpendapatan tertinggi di Malaysia, merangkumi 20 peratus daripada jumlah penduduk. Berdasarkan data terkini, golongan T20 ditakrifkan sebagai mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah melebihi RM11,820 sebulan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan tersebut akan dimuktamadkan tidak lama lagi selepas penelitian tersebut.

“Kita tidak mahu ia memberi kesan kepada kumpulan menengah atas, jadi harap ia dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, berucap di majlis berkenaan, Anwar memberitahu, kerajaan membe­lanjakan sebanyak RM15 bilion pada tahun ini untuk membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan dan menjamin kesejahteraan hidup mereka tanpa mengira kaum.

Menurut Perdana Menteri, bantuan tersebut melibatkan semua rakyat merentasi kaum menerusi pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan mengambil pendekatan yang bersifat perkauman sebaliknya memberi fokus kepada yang benar-benar memerlukan bantuan

“Bila kita sebut kemiskinan tegar, semua rakyat tanpa ke­cuali mesti dibebaskan daripada belenggu kemiskinan. Pendekatan kita bukan berdasarkan kaum semata-mata. Bagi rakyat yang miskin tegar kita bantu semua tanpa ke­cuali,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap ma­syarakat India yang masih berada dalam kelompok miskin dan terpinggir termasuk di kawasan estet.

Katanya, bantuan kepada masyarakat India bukan ha­nya disalurkan melalui Mitra, malah turut melibatkan kementerian lain menerusi program pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Terdapat pihak tertentu yang mendakwa kerajaan tidak membantu masyarakat India, namun dakwaan tersebut tidak benar kerana pelbagai bantuan telah disalurkan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara.

“Prestasi baik Mitra turut mendorong kerajaan meningkatkan peruntukan agensi itu daripada RM100 juta kepada RM150 juta bermula tahun ini,” katanya.

Tambahnya, dakwaan kerajaan tidak pernah membantu kumpulan kaum tertentu adalah tidak benar dan berniat jahat.

“Saya tak katakan kita lakukan semua yang terbaik kerana kita masih boleh perbaiki, tetapi untuk menyatakan tidak ada bantuan itu tidak benar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN