PETALING JAYA: Dasar import kenderaan elektrik (EV) terbaharu kerajaan dijangka memberi kelebihan sederhana kepada pemasang tempatan dan syarikat yang mempunyai pendedahan kepada pemasangan tempatan (CKD), menurut TA Securities.
Firma pembrokeran berkata, penguatkuasaan semula syarat import yang lebih ketat secara efektif meningkatkan halangan kemasukan bagi EV import berharga rendah, sekali gus berpotensi mengurangkan tekanan harga dalam pasaran tempatan.
Katanya, persaingan dalam pasaran EV Malaysia meningkat dengan ketara dalam tempoh dua tahun lalu, khususnya dalam segmen bawah RM200,000 yang didorong oleh strategi harga agresif pengeluar EV dari China.
“Kami berpandangan kerangka baharu ini boleh mengurangkan secara beransur-ansur kemasukan EV import berharga rendah mulai Julai 2026, sekali gus meningkatkan daya saing relatif model EV pemasangan tempatan.
“Bagaimanapun, dasar ini juga berpotensi memperlahankan penggunaan EV mampu milik dalam jangka pendek memandangkan pengguna dalam segmen pasaran massa masih sensitif terhadap harga di tengah-tengah kos sara hidup yang tinggi dan perbelanjaan budi bicara yang berhati-hati,” katanya dalam nota penyelidikan.
Rabu lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memberitahu, kerajaan menetapkan semua EV import sepenuhnya (CBU) perlu memenuhi nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta had kuasa motor sekurang-kurangnya 180 kilowatt (kW) berkuat kuasa 1 Julai 2026.
TA Securities berkata, pengurangan pilihan EV import berharga rendah boleh mengehadkan pilihan pengguna dan menjejaskan momentum penggunaan EV, terutama ketika kadar penembusan EV di Malaysia masih rendah berbanding pasaran serantau lain yang lebih maju.
“Semakan dasar tersebut akan memisahkan pasaran EV tempatan kepada dua segmen utama iaitu EV import premium dan EV pasaran massa pemasangan tempatan.
“Model EV import dalam kategori pertengahan mungkin menjadi kurang menarik dari segi komersial apabila syarat minimum CIF RM200,000 berpotensi meningkatkan harga runcit selepas mengambil kira cukai, duti, kos logistik dan margin pengedar,” ujarnya.
Menurutnya, dinamik penggunaan EV mampu milik secara lebih meluas masih tidak menentu, walaupun pelancaran EV Proton menunjukkan perkembangan awal yang memberangsangkan, khususnya bagi model peringkat permulaan yang menyasarkan pelanggan pasaran massa.
“Dari sudut impak syarikat, Sime Darby Berhad dijangka berdepan cabaran jangka pendek berikutan pendedahannya kepada rangkaian EV import BYD di Malaysia.
“Kebanyakan model BYD yang dijual ketika ini mungkin tidak memenuhi sepenuhnya syarat semakan import EV iCBU oleh MITI.
“Sebagai contoh, Atto 3 dilaporkan mempunyai output motor sekitar 150 kilowatt (kW), iaitu di bawah syarat minimum baharu 180 kW, selain harga jualannya juga di bawah ambang RM200,000,” katanya.
Sehubungan itu, firma berkata, model EV import dengan kuasa lebih rendah dan harga lebih murah berpotensi berdepan pengurangan kelayakan di bawah kerangka semakan baharu mulai Julai 2026.
Namun, TA Securities percaya impak jangka panjang terhadap Sime Darby boleh dikurangkan sekiranya BYD mempercepatkan rancangan penyetempatan dan pemasangan CKD di Malaysia.
Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangkakan impak terhadap Bermaz Auto Berhad dan MBM Resources Berhad kekal terkawal pada peringkat ini. – UTUSAN










