Keselamatan utara Sabah diperkukuh

Keselamatan utara Sabah diperkukuh

ANWAR Ibrahim melawat Pos Dogotan di Pulau Banggi, Kudat, sebuah pos keselamatan penting berhampiran perairan sempadan Filipina di utara Sabah. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan meningkatkan tahap keselamatan di utara Sabah bagi mena­ngani ancaman pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara fokus lawatan kerja ke Pulau Banggi, Sabah selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina sebelum ke Pos Dogoton bagi meninjau tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan Malaysia–F­ilipina.

Katanya, Pos Dogoton merupakan antara pos keselamatan hadapan bersempadan dengan perairan Filipina dan memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di utara Sabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Saya diberi taklimat ber­kenaan pelaksanaan operasi sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran dan meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, penugasan di kawasan terpencil dengan keada­an muka bumi dan cuaca mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin dan semangat juang tinggi dalam kalangan pasukan keselamatan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton.

“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang jarang terlihat, namun menjadi benteng yang memastikan kita terus hidup aman dan tenteram,” katanya.

Pada majlis berasingan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas lebih RM31 juta bertujuan meningkatkan pembangunan di Pulau Banggi, Sabah.

Peruntukan diselaraskan Ke­rajaan Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu adalah inisiatif pihaknya agar Pulau Banggi tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Peruntukan terbabit meliputi kos menaik taraf pelbagai kemudahan termasuk jalan raya, jambatan, jeti dan sebagainya termasuk menambah baik fasiliti keselamatan, pendidikan serta kesihatan di pulau terbabit.

Antara fasiliti terlibat ialah Balai Polis Pulau Banggi, Klinik Kesihatan Karakit, naik taraf asrama sekolah di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan selain Jeti Awam Karakit.

“Saya datang ini, saya luluskan peruntukan RM31 juta untuk Pulau Banggi. Ini termasuk beberapa projek yang sedang dilaksanakan seperti naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung termasuk Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran serta Bayangan Laut.

“Saya mahu Pulau Banggi ini menjadi contoh bahawa rakyat yang sedikit miskin atau tinggal di kawasan terpencil tidak terbiar.

“Kerajaan Madani merasa­kan tanggungjawab untuk meng­angkat martabat dan ke­upayaan setiap rakyat,” katanya berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Dewan Terbuka Pekan Baru Pulau Banggi, di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini