MEKAH: Dalam lautan jutaan manusia memenuhi Masjidil Haram, ada yang datang dengan satu tujuan iaitu menyempurnakan ibadah, namun sebaliknya wujud satu kelompok yang tidak pernah disebut namanya, tidak pula dikejar ganjaran, tetapi sentiasa ada saat diperlukan.
Mereka tidak mengejar tawaf sunat, tidak sempat bermunajat lama di hadapan Kaabah, malah terpaksa mengorbankan waktu rehat demi memastikan orang lain dapat beribadah dengan tenang.
Inilah wira senyap petugas haji Malaysia yang bekerja di belakang tabir dan mengurus yang tidak terlihat serta memikul amanah besar tanpa sorotan.
Wartawan Mingguan Malaysia pernah menyaksikan seorang jemaah warga emas kelihatan cemas terpisah daripada kumpulan dalam kesesakan di Masjidil Haram dengan wajahnya bimbang dan langkahnya tidak tentu arah.
Namun saat itulah pasukan peronda tampil menyusuri setiap ruang dan memerhati setiap wajah bagi memastikan tiada yang tercicir dalam jutaan manusia. Bagi mereka, panas terik dan kepadatan bukan alasan dengan setiap jemaah yang ditemui adalah amanah.
Ketua Unit Rondaan Haji, Ahmad Fauzee Mohamad Salleh berkata, kelibat pasukan itu atau lebih dikenali ‘Semut Hitam’ mungkin tidak disedari ramai, namun peranan mereka cukup besar dalam memastikan jemaah haji tidak tersasar arah dan dapat menunaikan ibadah dengan lancar.
Malah katanya meskipun mereka berada di Tanah Suci untuk beribadah, namun petugas perlu mengambil kira tanggungjawab menjaga keselamatan dan jemaah haji agar mereka dapat pergi dan pulang dari Masjidil Haram ke hotel dengan lancar.
Katanya, pasukannya bertanggungjawab melakukan rondaan di kawasan sekitar masjid bagi membantu jemaah mendapatkan panduan dan arah tuju yang tepat.
Walaupun berdepan tekanan fizikal dan emosi, beliau menegaskan, semangat pasukan tetap utuh kerana menganggap setiap jemaah sebagai keluarga sendiri.
“Kami lihat mereka seperti ibu dan ayah kami. Bila nampak jemaah keliru, terpisah atau keletihan, hati kita tergerak untuk bantu,” katanya.
Dengan pakaian seragam hitam berjalur hijau, ‘Semut Hitam’ kini lebih mudah dikenali, sekali gus memudahkan jemaah mendapatkan bantuan di laluan sekitar Masjidil Haram.
“Walaupun ada kritikan, kami terima sebagai cabaran untuk perbaiki perkhidmatan. Apa yang penting, jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selamat dan sempurna, itu pun sudah cukup bagi kami,” katanya.
MENCARI JEMAAH TERSESAT
Bagi seorang lagi petugas Pasukan Peronda Haji, Muhammad Firdaus Shaiful Hilmi, peranan pasukannya sering tidak disedari kerana jumlah yang kecil berbanding jemaah Malaysia yang terlalu ramai.
“Kalau ada yang kata tak pernah jumpa kami, itu perkara biasa. Nisbah kami sangat kecil mungkin sekitar 0.5 peratus sahaja daripada jumlah jemaah. Tapi bagi kami, setiap jemaah yang ditemui tetap diberi bantuan sebaik mungkin,” katanya.
Namun, katanya, panggilan pertama ke Mekah bukan sekadar menyahut seruan ilahi, tetapi demi tanggungjawab untuk menyantuni jemaah.
Katanya, kehadiran mereka walaupun kecil tetapi amat penting ketika saat jemaah memerlukan.
“Kami pantau dari jauh. Kalau nampak jemaah keliru atau terpisah daripada kumpulan, kami akan terus dekati dan bantu.
“Walaupun mereka tak kenal kami, kami akan approach (dekati) supaya mereka rasa selamat. Lama-kelamaan, jemaah akan kenal dan tahu kami sentiasa ada. Tapi bagi kami, setiap jemaah yang ditemui tetap diberi bantuan sebaik mungkin,” katanya.
BERPANAS TERIK DEMI TETAMU ALLAH
Dalam keadaan cuaca panas terik sehingga suhu 40 darjah celcius sudah menjadi lumrah biasa bagi petugas Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) demi memastikan pergerakan 31,600 jemaah Malaysia ke tanah suci berjalan lancar.
Meskipun kisah mereka tidak pernah diangkat seperti petugas haji lain, namun kira-kira lima petugas PPKL Tabung Haji (TH) ditempatkan di Hentian Rehat Al-Hijrah Wadi Satrah yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Madinah, iaitu lokasi persinggahan penting jemaah haji Malaysia dalam perjalanan ke Mekah.

Mengulas pengalaman itu, Pengurus PPKL, Mohd. Azir Shahril Ahmad berkata, bukan sahaja cuaca panas, namun mereka berdepan cabaran risiko ribut pasir yang boleh menjejaskan kesihatan semata-mata untuk tugas untuk menjaga keselamatan jemaah haji.
“Jika nak fikir keselesaan, memang tidak jadi tugas kami di sini. Tetapi atas semangat untuk menyantuni Duyufurrahman (tetamu Allah) dan amanah, kami perlu melalui cabaran ini.
“Sepanjang sebulan berada di sini, memang tiada kehidupan. Masa dihabiskan sepenuhnya untuk bekerja dan menunggu ketibaan jemaah.
“Malam digunakan untuk menyiapkan laporan, manakala siang pula memastikan kebajikan jemaah sentiasa terjaga,” katanya.
Beliau turut mengakui keadaan menjadi lebih mencabar apabila ribut padang pasir melanda, terutama ketika cuaca panas yang menyebabkan debu berterbangan sehingga memaksa petugas memakai pelitup muka sepanjang masa.
“Malam hari juga sunyi kerana hanya terdapat beberapa orang petugas Malaysia, selebihnya warga asing. Namun semua itu tidak difikirkan kerana kami memikul amanah besar,” ujarnya.
Tambahnya, segala pengorbanan itu berbaloi kerana berpeluang berkhidmat kepada tetamu Allah, sekali gus menimbulkan rasa bangga terhadap tugas yang digalas.
SENGKANG MATA SUSUN BEG JEMAAH
Ketika jemaah haji masih dalam perjalanan panjang dari Madinah ke Mekah, sekumpulan petugas sudah lebih awal bersengkang mata menyusun satu demi satu beg jemaah dengan penuh teliti.
Tanpa disedari ramai, inilah antara ‘operasi senyap’ yang digerakkan oleh petugas TH bagi memastikan ketibaan jemaah berlangsung lancar tanpa sebarang beban, khususnya selepas menempuh perjalanan hampir lapan jam yang memenatkan.
Mingguan Malaysia melihat sendiri setiap bagasi disusun rapi di hadapan bilik penginapan, membolehkan jemaah terus berehat sebaik tiba tanpa perlu mencari atau mengangkat sendiri barangan mereka.

Persiapan itu bukan dilakukan saat akhir, sebaliknya bermula lebih awal dengan koordinasi terancang termasuk penempatan petugas di setiap laluan utama bagi melancarkan pergerakan jemaah dari bas ke bilik masing-masing.
Penolong Pengurus Maktab 63, Muhammad Fauzi Muniran berkata, pihaknya telah melakukan persiapan lebih awal sebelum menerima ketibaan jemaah dan memastikan mereka tidak terbeban sebaik tiba, terutama melibatkan pengurusan bagasi.
“Langkah ini amat membantu khususnya buat warga emas dan jemaah yang keletihan, sekali gus membolehkan mereka terus berehat sebaik tiba.
“Semua beg jemaah telah disusun lebih awal di luar bilik masing-masing mengikut tag dan kapasiti bilik.
“Ini bermakna apabila jemaah tiba, mereka tidak perlu mengangkat beg dari jauh kerana semuanya sudah tersedia di hadapan bilik,” katanya.
Di sebalik kelancaran itu, tersembunyi komitmen tinggi petugas yang sanggup bekerja tanpa mengira masa demi memastikan kebajikan tetamu Allah sentiasa menjadi keutamaan.
HERO DI SEBALIK EMOSI JEMAAH
Di sebalik kesibukan jemaah haji menunaikan ibadah di Tanah Suci, wujud sekumpulan ‘hero sunyi’ yang jarang diberi perhatian, namun memainkan peranan besar dalam memastikan perjalanan spiritual mereka berjalan lancar.
Tanpa menunggu jemaah datang mendapatkan bantuan, pasukan kaunseling Tabung Haji tampil proaktif dengan mengetuk dari pintu ke pintu bilik penginapan, menyantuni mereka yang mungkin sedang bergelut dengan emosi seperti rindu, cemas atau tekanan.
Pengurus Kaunseling Haji, Azlina Abdul Hamid berkata, perubahan mendadak dari segi cuaca, persekitaran dan rutin harian menyebabkan sebahagian jemaah mengalami kejutan emosi, terutama mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Di sinilah peranan kami untuk melihat keadaan emosi mereka, bertanya khabar dan membantu supaya mereka kekal fokus dalam melaksanakan ibadah haji,” katanya.
Menurutnya, selain sesi kaunseling secara bersemuka, pihaknya turut menjalankan lawatan silaturahim serta taklimat bagi memperkenalkan perkhidmatan tersebut, memandangkan masih ramai jemaah tidak menyedari kewujudannya.
Tambah beliau, pendekatan mendekati jemaah secara santai itu membolehkan kaunselor mengesan lebih awal perubahan emosi, termasuk dalam kalangan mereka yang cenderung menyendiri atau memendam perasaan.
“Walaupun kecil bilangannya, kami memikul amanah besar untuk memastikan emosi jemaah sentiasa stabil kerana ketenangan jiwa amat penting dalam menyempurnakan ibadah haji,” ujarnya.
SATU GANGGUAN KECIL, KESANNYA BESAR
Dalam operasi haji yang semakin bergantung kepada teknologi, satu gangguan kecil pada sistem IT mampu memberi kesan besar kepada keseluruhan pergerakan jemaah.
Daripada pengeluaran senarai jemaah, tiket penerbangan sehinggalah pergerakan bas, semuanya kini disokong oleh sistem digital yang perlu berfungsi tanpa henti bagi memastikan kelancaran operasi haji di Tanah Suci.

Menurut Pengurus Operasi Teknologi Maklumat TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal, sebarang kelewatan atau kegagalan sistem walaupun hanya beberapa minit boleh mencetuskan kesan berantai yang menjejaskan ribuan jemaah secara serentak.
“Selagi manifest dan tiket tidak dikeluarkan, jemaah tidak boleh bergerak. Sebab itu sistem perlu sentiasa bersedia dan diselesaikan segera jika berlaku gangguan,” katanya.
Cabaran menjadi lebih besar apabila operasi haji melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia, sekali gus menyebabkan kesesakan rangkaian internet yang boleh memperlahankan sistem.
Justeru itu, pasukan IT turut menyediakan kaedah manual sebagai pelan sokongan bagi memastikan operasi tetap berjalan walaupun berdepan gangguan tidak dijangka. – UTUSAN










