PETALING JAYA: ASEAN perlu memiliki mekanisme simpanan makanan sebagai langkah menghadapi krisis global yang boleh menjejaskan bekalan dan kestabilan harga.
Untuk itu, negara-negara anggota perlu merangka satu inisiatif yang menyentuh soal penyelarasan dan tindak balas kecemasan agar dapat dilaksanakan lebih pantas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keselamatan makanan perlu dianggap sebagai keutamaan strategik serantau.
Beliau berkata, krisis tenaga mula memberi kesan langsung terhadap keselamatan makanan apabila kenaikan harga bahan api meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran makanan sehingga memberi tekanan di seluruh rantau ini.
Katanya, sekiranya gangguan global berpanjangan, ASEAN berdepan risiko pengurangan hasil pengeluaran serta inflasi makanan sehingga tahun depan.
“ASEAN juga perlu memperkukuh mekanisme Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) dan mempertimbang peluasan kerjasama melangkaui simpanan beras termasuk aspek keselamatan baja,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina semalam.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa konflik yang memuncak di Asia Barat mengajar ASEAN mengenai tanggungjawab bersama melindungi rakyat rantau ini yang berada di kawasan terjejas.
Anwar berkata, jutaan rakyat ASEAN tinggal dan bekerja di seluruh Asia Barat, lantas menjadikan keselamatan mereka sebagai keprihatinan bersama negara anggota.
“Daripada pekerja migran dan pelaut hingga anggota pengaman serta pelajar, risiko yang berpunca daripada ketidakstabilan serantau menuntut penyelarasan yang lebih kukuh dalam kalangan kita,” ujarnya.
Beliau berkata, ASEAN perlu memperkukuh perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme tindak balas kecemasan bagi memastikan kebajikan rakyatnya terus terpelihara.
Dalam pada itu, Malaysia menyokong usaha mempercepat pelaksanaan Projek Grid Kuasa ASEAN bagi memperkukuh integrasi tenaga serantau serta memastikan bekalan tenaga lebih mampan dalam jangka panjang.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik global yang semakin memberi tekanan terhadap keselamatan tenaga dan kestabilan rantaian bekalan.
Katanya, tiada negara mampu menghadapi cabaran tersebut secara bersendirian, justeru kerjasama kolektif dan solidariti perlu diperkukuh.
“ASEAN perlu mempercepat integrasi tenaga serantau. Kerjasama strategik tenaga perlu terus diperkasa bagi meningkatkan daya tahan rantau ini dalam menghadapi krisis global dan gangguan rantaian bekalan,” katanya ketika sesi plenari.
Malaysia turut menyokong pengukuhan mekanisme keselamatan petroleum serantau sebagai langkah menghadapi sebarang gangguan bekalan tenaga.
Katanya, ASEAN juga perlu memperluas jaringan kerjasama strategik termasuk melibatkan negara Teluk dan China untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur serta daya tahan tenaga serantau. – UTUSAN











