PETALING JAYA: Skuad terjun papan anjal wanita negara berdepan detik cemas apabila kekurangan atlet untuk mewakili acara berkenaan ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun akibat beberapa siri kecederaan.
Berbaki 135 hari sebelum temasya bermula, ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri terpaksa diketepikan berikutan mengalami kecederaan sekali gus menyaksikan beliau terlepas musim 2026.
Situasi itu menyaksikan Ong Ker Ying dan Lee Yiat Qing bakal mewakili acara papan anjal wanita ke temasya empat tahun sekali itu meskipun baru pulih dari kecederaan dengan dibelenggu prestasi tidak menentu.
Pengarah teknikal terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata sebelum ke temasya berkenaan, barisan kejurulatihan harus melihat prestasi terlebih dahulu supaya mereka cergas untuk bertanding.
“Ker Ying belum pulih sepenuhnya. Berdasarkan pemantauan kami sekarang, kami pun agak ketat sebab sebelum pertandingan sebenar, kami kena buat ujian untuk tengok sama ada mereka cergas untuk bertanding.
“Kita tidak mahu perkara seperti penarikan diri atau tidak menunjukkan prestasi disebabkan kecederaan berlaku. Kami mahu kurangkan perkara-perkara sebegini. Jadi sekarang selepas sebulan lebih pemantauan rapi dengan jurulatih, kita nampak ada perkembangan,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.
Dengan Ker Ying masih mencari rentak, juara Sukan Sea Kemboja 2023, Yiat Qing akan menggalas tanggungjawab untuk acara berkenaan meskipun turut disandarkan dalam acara platform wanita individu dan seirama.
Yiat Qing tidak mencapai Skor Kelayakan Minimum (MQS) dalam ujian pemilihan kebangsaan bulan lalu, menyaksikan barisan kejurulatihan sukar untuk membuat keputusan.
“Kita letak Yiat Qing dalam acara papan anjal tapi dia pun tidak mencapai MQS juga. Jadi sekarang kita kena “main catur” sikit, tengok macam mana mahu susun sama ada penerjun wanita ini boleh diletakkan dalam pasukan,” katanya. – UTUSAN










