Guan Eng minta UMNO kembali ke pangkal jalan, sokong Aminuddin

Guan Eng minta UMNO kembali ke pangkal jalan, sokong Aminuddin

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP menggesa UMNO supaya pulang ke pangkal jalan dan kembali menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, UMNO perlu berhenti menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dan menghentikan sebarang usaha menggulingkan kepemimpinan sedia ada di Negeri Sembilan.

“Saya tetap berpegang dengan pendirian bahawa UMNO tidak harus menjadi gunting dalam lipatan, seharusnya balik ke pangkal jalan dengan menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Perpaduan dengan bertanding bersama dengan PH, bukannya bergerak solo menentang calon PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng turut membidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menggesa DAP tidak menjadi batu api, susulan krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.

“Jangan-jangan Wan Rosdy lupa bahawa yang mencetuskan masalah besar kali ini bukanlah saya atau DAP, bahkan adalah UMNO sendiri dengan komplot merampas kuasa Kerajaan Negeri Sembilan dengan sokongan parti pembangkang Perikatan Nasional (PN) dan keputusan bergerak solo menentang calon PH dalam PRU akan datang.

“Jangan pura-pura jadi mangsa keadaan bila UMNO adalah punca kemelut ini,” katanya.

Semalam, Wan Rosdy mengulas kenyataan Guan Eng yang melabel UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.

Wan Rosdy berkata, kenyataan Guan Eng tidak membantu dan boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan BN serta PH sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×