ROMPIN: The Mentalist, sistem pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) hasil inovasi penyelidik Universiti Tenaga Nasional (Uniten), muncul pendekatan baharu dalam menangani tekanan mental sebelum ia berkembang menjadi krisis.
Dibangunkan oleh pasukan diketuai Dr. Siti Fara Fadila Abd. Razak, sistem itu direka khusus untuk mengesan risiko tekanan mental pada peringkat awal sekali gus membolehkan intervensi dilakukan lebih cepat dan berkesan.
Katanya, pendekatan kesihatan mental di negara ini perlu beralih daripada rawatan kepada pencegahan kerana kebanyakan individu hanya mendapatkan bantuan apabila keadaan sudah kritikal.
“Apabila tekanan mental sampai ke tahap serius, kos rawatan lebih tinggi dan kesannya lebih kompleks. The Mentalist dibangunkan untuk mengesan risiko lebih awal supaya tindakan dapat diambil sebelum terlambat.
“Berbeza dengan aplikasi kesihatan mental biasa, sistem ini menggunakan Model Penilaian Multidimensi yang menilai aspek personaliti, latar belakang keluarga, hubungan interpersonal serta faktor persekitaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Siti Fara Fadila berkata, melalui pendekatan menyeluruh itu, The Mentalist mampu memberikan gambaran lebih tepat terhadap keadaan mental seseorang dan seterusnya mencadangkan langkah pencegahan bersesuaian.
Beliau berkata, antara ciri utama adalah Mentalist Stress Risk Score, iaitu skor yang mengklasifikasikan tahap tekanan mental pengguna daripada rendah hingga kritikal.
Skor tersebut, katanya, bukan sekadar penilaian malah berfungsi sebagai panduan untuk tindakan susulan seperti mendapatkan kaunseling atau sokongan profesional.
“Selain itu, sistem memperkenalkan Premarital Mental Readiness Score, iaitu saringan awal bagi pasangan yang ingin berkahwin untuk menilai kesediaan emosi dan psikologi sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
“Ramai pasangan berkahwin tanpa memahami diri sendiri dan pasangan secara mendalam. Sistem ini membantu mereka membuat keputusan lebih matang dan bersedia,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pengguna juga akan menerima kad identiti digital yang memberi akses kepada perkhidmatan sokongan seperti kaunseling, program kesedaran serta intervensi awal.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja memudahkan akses kepada bantuan malah membantu membina budaya masyarakat yang lebih terbuka terhadap isu kesihatan mental. – UTUSAN











