Senaman pilates yang dicipta oleh Joseph Hubertus Pilates sekitar 1914 berpaksikan kepada metodologi pengukuhan otot teras, kestabilan postur, serta penyelarasan antara aspek mental dan fizikal secara menyeluruh.
Fokus utama latihan ini diberikan kepada bahagian otot dasar pinggul yang sangat sinonim dengan fisiologi wanita, memandangkan kelompok otot tersebut merupakan penyokong utama kepada sistem organ dalaman badan.
Dari sudut kesihatan, rutin pilates yang konsisten berfungsi sebagai langkah pencegahan awal bagi meminimumkan risiko kelemahan otot dalaman mahupun komplikasi berkaitan kedudukan rahim atau peranakan.
Keupayaan senaman ini yang bersifat inklusif membolehkan ia dipratikkan seawal usia 12 tahun, iaitu fasa yang sangat kritikal bagi membantu golongan remaja membina struktur tulang teguh dan membentuk postur badan yang betul secara semula jadi.
Selain menjadi solusi elektif bagi membetulkan jajaran tulang belakang, pilates juga berperanan sebagai mekanisme pelindung terhadap risiko sakit pinggang kronik akibat gaya hidup kurang aktif atau kedudukan posisi duduk yang salah dalam tempoh lama.
Oleh itu, kewujudan pilates dalam arus perdana tidak seharusnya dinilai sebagai trend gaya hidup semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu pelaburan kesihatan yang mampu mencegah pelbagai komplikasi fizikal sebelum menjadi lebih serius.
Betulkan postur, jajaran tulang
Selain mengukuhkan otot, pilates berfungsi secara mekanikal dalam membetulkan jajaran tulang belakang bagi memastikan postur badan kembali tegak dan seimbang secara semula jadi.
Pemilik Klinik Dr. Twins, Dr. Amalina A. Rahman menekankan kepentingan senaman yang memfokuskan kepada kekuatan otot teras untuk kesihatan jangka panjang.
Katanya, ia bukan sahaja membantu memperbaiki postur, malah dapat mengelakkan kecederaan tulang belakang kronik.
Ujarnya, latihan konsisten membantu menarik bahu ke belakang dan memanjangkan ruang antara vertebra tubuh.
Langkah ini sekali gus mampu membaiki masalah badan membongkok yang sering berpunca daripada tabiat harian atau posisi duduk yang salah.

Kesihatan rahim
Di samping itu. senaman ini juga bermanfaat bagi wanita yang berdepan risiko rahim jatuh.
Ia membantu menguatkan kembali kelompok otot penyokong tersebut.
Secara tidak langsung ia menaikkan semula kedudukan peranakan secara semula jadi dan mencegah komplikasi prolaps yang lebih serius.
Amalina berkata, pengukuhan otot pinggul merupakan perisai utama dalam menjaga kesihatan reproduktif wanita.
“Pengukuhan otot pelvis melalui senaman yang tepat seperti pilates adalah langkah proaktif untuk memastikan organ dalaman kekal pada kedudukan asal dan berfungsi dengan baik,” jelasnya.
Cegah sakit belakang
Melalui pembinaan ‘korset’ otot semula jadi yang kuat di sekeliling pinggang, pilates mampu mengurangkan bebanan tekanan terus pada struktur tulang belakang.
Rutin latihan yang berfokus ini bukan sahaja merawat kesakitan sedia ada, malah bertindak sebagai pelindung utama daripada risiko sakit belakang kronik.
Langkah pencegahan ini amat penting bagi mengelak masalah kecederaan slip disc.
Rehabilitasi paling selamat
Kepentingan disiplin ini dalam dunia perubatan semakin jelas memandangkan ia kini telah diiktiraf secara meluas sebagai salah satu cabang elemen fisioterapi efektif.
Pendekatan berimpak rendah yang diamalkan dalam setiap pergerakan menjadikannya kaedah rehabilitasi paling selamat untuk pesakit.
Teknik ini membolehkan individu memulihkan fungsi tubuh secara berperingkat tanpa memberi sebarang tekanan melampau kepada bahagian sendi tercedera.

Pengurusan mental
Di sebalik manfaat fizikal, pilates turut diiktiraf sebagai antara medium terapi minda berkesan bagi individu yang berdepan masalah keresahan.
Amalina berkata, teknik pernafasan secara mendalam yang dipraktikkan sepanjang latihan berfungsi menenangkan sistem saraf pusat sekali gus membantu mengalihkan minda daripada pemikiran negatif.
“Bagi pesakit anxiety, keupayaan untuk mengawal setiap koordinasi tubuh melalui gerakan pilates memberikan mereka rasa keyakinan diri serta ketenangan yang sangat diperlukan dalam proses pemulihan emosi,” katanya.
Trend gaya hidup
Kehadiran pilates sebagai trend dalam arus perdana ketika ini seharusnya dipandang daripada sudut positif kerana ia membawa impak yang jauh lebih baik kepada kualiti kesihatan masyarakat.
Amalina berkata, sikap tidak mahu ketinggalan atau fomo terhadap aktiviti senaman ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding mengejar trend makanan yang tidak berkhasiat.
Menurutnya, daripada membazir wang ke arah perkara tidak berfaedah, adalah lebih baik pelaburan tersebut dilaburkan dalam aktiviti yang menjamin kecergasan tubuh badan.
Dia berharap senaman ini akan terus subur dan kekal relevan supaya lebih ramai individu, terutama golongan wanita, mula cakna tentang kebaikannya untuk kesihatan dalaman.
Langkah ini dilihat mampu mengubah persepsi masyarakat agar tidak lagi menganggap pilates sebagai gaya hidup mewah semata-mata, sebaliknya satu keperluan untuk kesejahteraan diri yang menyeluruh.











