PRN Negeri Sembilan serentak Johor, Melaka hujung tahun ini?

PRN Negeri Sembilan serentak Johor, Melaka hujung tahun ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi diadakan hujung tahun ini sebagai jalan penyelesaian kemelut politik semasa.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, ia dijangka diadakan serentak dengan Johor dan Melaka berdasarkan faktor tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua negeri itu.

Katanya, pelaksanaan PRN hujung tahun itu juga mengambil kira tempoh beberapa bulan akan datang yang dilihat lebih sesuai berbanding ketika ini memandangkan negara masih berdepan kesan krisis tenaga global dan dalam proses merangka langkah pemulihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika mengambil kira pertimbangan sedia ada, DUN Melaka akan terbubar pada hujung tahun ini, manakala Johor pada April 2027. Negeri Sembilan pula ketika ini berdepan krisis dan dalam tempoh enam bulan akan datang, DUN akan bersidang serta terdapat kemungkinan usul tidak percaya daripada UMNO.

“Jadi, berdasarkan pertimbangan tersebut, saya berpendapat kemungkinan pilihan raya diadakan pada hujung tahun iaitu antara Oktober hingga November,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DAP kelmarin mengarahkan seluruh jentera parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan jika DUN negeri itu dibubarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, PRN bukanlah langkah terbaik untuk dilaksanakan ketika ini kerana keutamaan seharusnya diberikan kepada kestabilan ekonomi serta pembangunan negeri.

Katanya, kedudukan kerajaan negeri di Johor dan Melaka ketika ini masih kukuh, manakala kerjasama politik di Negeri Sembilan juga dilihat masih bertahan walaupun terdapat perbezaan pendirian dalam kalangan parti.

“Walaupun DAP telah mengarahkan jentera partinya bersiap sedia, kemungkinan pelaksanaan PRN secara mengejut sukar dibuat dalam keadaan ekonomi semasa yang agak gawat dan sebenarnya ia bergantung kepada kestabilan sokongan majoriti di dalam peringkat DUN.

“Pada saya, sebarang kemelut di Negeri Sembilan ini sebaik-baiknya diselesaikan melalui meja rundingan antara pimpinan parti bagi mengelakkan pembaziran dana awam yang besar untuk proses PRN.

“Fokus utama kerajaan seharusnya tertumpu kepada agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat berbanding terus berpolitik secara berlebihan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta merugikan pertumbuhan ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini