TEL AVIV: Dua aktivis asing dari flotila menuju Gaza dan kini ditahan di penjara Israel mendakwa mereka menghadapi penderaan psikologi, ugutan bunuh dan keadaan tahanan yang teruk, kata sebuah kumpulan hak asasi pada Isnin.
Pada Ahad, sebuah mahkamah Israel melanjutkan tempoh tahanan selama dua hari terhadap warganegara Sepanyol, Saif Abu Keshek dan warga Brazil Thiago Avila yang dibawa ke Israel untuk disoal siasat minggu lalu.
Kedua-duanya adalah antara puluhan aktivis di atas flotila menuju Gaza yang dipintas oleh tentera Israel di luar pesisir Greece pada awal Khamis.
“Thiago Ávila melaporkan beliau disoal siasat berulang kali sehingga lapan jam. Para penyiasat secara jelas mengugut beliau, dengan menyatakan beliau sama ada akan dibunuh atau dipenjarakan selama 100 tahun’,” kata kumpulan hak asasi Adalah.
Peguam kumpulan asasi itu yang mewakili mereka melawat kedua-dua aktivis itu dalam tahanan pada Isnin, menurut Adalah dalam satu kenyataan.
Adalah berkata, ia sedang menunggu keputusan sama ada pihak pendakwa akan memohon lanjutan lagi tempoh tahanan mereka pada Selasa.
Abu Keshek dan Avila ditahan dalam pengasingan penuh dengan lampu terang sentiasa dipasang di dalam bilik penjara mereka, kata Adalah.
Ia menyatakan Avila juga ditahan dalam suhu yang sangat sejuk.
“Mereka ditutup mata setiap kali dipindahkan keluar dari bilik penjara, termasuk semasa pemeriksaan perubatan,” tambahnya.
Adalah berkata, kedua-dua aktivis itu meneruskan mogok lapar yang telah memasuki hari keenam pada Isnin.
Semasa perbicaraan di mahkamah di bandar Ashkelon pada Ahad, Adalah berkata, pihak pendakwa raya telah mengemukakan senarai kesalahan yang dituduh ke atas mereka, termasuk membantu musuh semasa perang dan memberi perkhidmatan kepada organisasi pengganas.
Bagaimanapun, peguam Adalah mencabar bidang kuasa Israel dengan berhujah bahawa penahanan kedua-dua aktivis itu merupakan penculikan yang tidak sah di perairan antarabangsa. – AFP










