PETALING JAYA: Hanya tinggal seorang sahaja calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang boleh diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka ingin menggantikan Datuk Seri Aminuddin Harun untuk jawatan itu.
Jika mengambil kira undang-undang tubuh Negeri Sembilan, seorang Menteri Besar mestilah seorang Melayu dan beragama Islam. Mengambil kira amalan semasa MB dalam kalangan lelaki Melayu Islam, calonnya yang tinggal hanyalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Ir. Bakri Sawir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bakri berkata, setakat ini tiada perbincangan dalam PH untuk menggantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Malah katanya, beliau turut menolak jika jawatan tersebut diserahkan kepadanya hanya bagi memenuhi syarat Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
Namun BN meletakkan syarat Menteri Besar negeri itu ditukar kepada pemimpin lain.
“Tiada perbincangan setakat ini dalam PH, saya pun tidak pernah dihubungi mana-mana pihak mengenai perkara ini.
“Kalau ditawar kepada saya sekalipun, saya akan menolak kerana saya tidak berminat untuk memikul komitmen yang berat ini.
“Jadi kita perlu bincang dan kembali kepada mesyuarat untuk kepemimpinan tertinggi menentukannya,” katanya semalam.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan bukan untuk merampas pentadbiran daripada PH, namun 14 ADUN Barisan Nasional (BN) hanya ingin menukar Menteri Besar yang telah hilang kepercayaan.
“Tidak langsung timbul untuk menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang. mungkin interpretasi dan persepsi. Yang mereka tidak mahu cuma Menteri Besar.
“Soal Menteri Besar itu kita serahkan kepada pemimpin parti gabungannya iaitu PH. Mereka akan tentukan siapa yang akan menjadi Menteri Besar kalau Aminuddin tidak lagi mendapat kepercayaan ahli parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” jelas Ahmad Zahid.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, difahamkan satu mesyuarat biro politik antara PH dan BN akan diadakan bagi membincangkan krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.
“PH dan BN ini ibarat suami isteri yang sudah bercerai, namun kini rujuk balik dan ada syaratnya untuk berbaik.
“Hal ini yang perlu dibincang bersama, apa puncanya sehingga menjadi masalah. Jadi PH di peringkat pusat akan buat keputusan,” katanya.
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang diadakan pada 2023, PH memenangi sebanyak 17 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada jumlah itu, 11 kerusi dimenangi DAP diikuti PKR memiliki lima kerusi manakala Amanah dengan satu kerusi.
Selain Aminuddin di DUN Sikamat, PKR juga memenangi DUN Ampangan menerusi Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan); Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah); Datuk Dr. G. Rajasekaran (Sri Tanjung) dan Datuk Yew Boon Lye (Chuah). – UTUSAN










