BEIJING: China tidak akan mematuhi sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap lima firma miliknya yang menjadi sasaran Washington atas dakwaan membeli minyak dari Iran.
Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, tindakan unilateral AS itu merupakan satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa serta norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa.
China merupakan pelanggan utama minyak Iran, terutamanya melalui loji penapisan bebas atau lebih dikenali sebagai loji penapis ‘teapot’ yang bergantung kepada bekalan minyak mentah pada harga diskaun daripada Republik Islam tersebut.
“Kerajaan China secara konsisten menentang sekatan sepihak yang tidak mempunyai mandat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa.
“Langkah yang diambil AS secara tidak wajar melarang atau menyekat perusahaan China daripada menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan yang normal dengan negara ketiga,” kata kementerian itu.
Injunksi kementerian berkenaan terpakai ke atas tiga syarikat di wilayah Shandong iaitu Kumpulan Petrokimia Shandong Jincheng, Petrokimia Shandong Shouguang Luqing dan Kimia Shandong Shengxing selain dua lagi firma iaitu Kilang Penapis Petrokimia Hengli (Dalian) serta Kumpulan Kimia Hebei Xinhai.
Terdahulu pada Jumaat, Washington mengenakan sekatan ke atas sebuah lagi firma China, Terminal Minyak Qingdao Haiye yang didakwa mengimport puluhan juta tong minyak mentah Iran sehingga menjana pendapatan berbilion dolar kepada Teheran.
Bagaimanapun, firma tersebut tidak disenaraikan dalam injunksi kementerian perdagangan yang dikeluarkan semalam.
Tindakan terbaharu AS itu dilakukan ketika Washington dan Teheran masih berada dalam kebuntuan diplomatik susulan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari lalu yang sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian kekal.
Ketegangan ini dijangka menjadi agenda utama dalam pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin China, Xi Jinping ketika lawatan rasmi Trump ke negara itu pada penghujung bulan ini. – AGENSI










