PETALING JAYA: Surat penganugerahan bagi Fasa 1 Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) bernilai RM6 bilion yang diterima oleh Usahasama Upper Padas Power Sdn. Bhd. (UPPSB) dijangka mengukuhkan prospek Gamuda Berhad, menurut nota penyelidikan
Penganalisis CIMB Securities, Kenny Mak Hoy Ken berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan loji rawatan air (WTP) berkapasiti 350 juta liter sehari (mld) serta kira-kira 200 kilometer saluran paip yang merentasi pantai barat Sabah dari Sipitang ke Kota Kinabalu.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, RM5 bilion kerja pembinaan telah dianugerahkan kepada UPPSB.
“Berdasarkan pegangan efektif 75 peratus Gamuda dalam usaha sama tersebut, kira-kira RM3.8 bilion nilai kerja dijangka disumbangkan kepada kumpulan itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Beliau berkata, kapasiti reka bentuk keseluruhan SBAUP adalah 950 mld, sekali gus membuka ruang kepada Gamuda untuk menyertai bidaan fasa seterusnya sekiranya pelaksanaan Fasa 1 berjalan lancar.
“Margin sebelum cukai bagi Fasa 1 dianggarkan sekitar 8 hingga 10 peratus dengan sasaran siap menjelang akhir 2029.
Walaupun projek dianugerahkan secara harga pukal, Gamuda dilihat telah memasukkan penampan kos mencukupi bagi mengurangkan risiko turun naik harga bahan binaan susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat,” ujarnya.
SBAUP juga merupakan lanjutan kepada projek hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM3 bilion dengan kapasiti 188 megawatt (MW) yang sedang dilaksanakan Gamuda, sekali gus membolehkan mobilisasi kerja pembinaan dilakukan dengan lebih pantas.
Sementara itu, Kenny Mak berkata, kontrak baharu itu meningkatkan buku pesanan tertunggak Gamuda kepada RM49.3 bilion, sekali gus meletakkan kumpulan itu di landasan kukuh untuk mencapai sasaran RM50 bilion menjelang akhir 2026.
“Momentum bidaan Gamuda dijangka kekal kukuh disokong peluang projek di Taiwan serta aliran tender berterusan di Australia.
“Ini termasuk bidaan oleh Gamuda Engineering Australia dan anak syarikat milik penuhnya, DT Infrastructure, masing-masing bernilai RM6 bilion dan RM10 bilion pada 2026.
“Selain itu, Gamuda juga berpotensi membida projek loji tenaga solar terapung hibrid yang akan diintegrasikan di kawasan takungan loji hidroelektrik Ulu Padas.
“Kami kekal positif terhadap Gamuda dengan syor ‘Beli’ dikekalkan, disokong asas pendapatan yang pelbagai dalam persekitaran risiko geopolitik yang meningkat,” katanya.
CIMB Securities mengekalkan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.20 berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOP). – UTUSAN










