KUALA LUMPUR: UMNO perlu fokus membina kekuatan demi masa depan parti dan berhenti terlena dalam nostalgia sekiranya mahu kembali menjadi ‘kuasa’ dominan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu mengharungi cabaran dan membawa parti ke arah kegemilangan seperti mana 80 tahun lalu.
Beliau berkata, UMNO perlu berganjak daripada krisis yang menimpa parti sejak 2018 dan mencipta anjakan seterusnya demi masa depan parti, Melayu dan negara.
“Oleh sebab itu saya menggariskan beberapa perkara antaranya seperti agenda Rumah Bangsa yang mana ia perlu diperkukuhkan untuk kita kembali ke asas perjuangan. Jika dahulu pertubuhan-pertubuhan Melayu disatukan menjadi satu kekuatan yang besar.
“Hari ini kita mesti berani untuk menyatukan ia semula dan merangkul semua kekuatan yang ada. Sebagai rumah asas politik orang Melayu, kita tidak mahu lagi melihat kekuatan Melayu bergerak secara bersendirian tanpa arah,” katanya ketika membuat ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengarahkan jentera UMNO mendekati golongan muda dan memenuhi citarasa generasi tersebut.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ulang tahun UMNO ke-80 bukan sekadar tarikh mengenang perjalanan panjang tetapi hari yang menuntut semua untuk merenung dan merancang masa depan parti.
“Kerana nostalgia tidak mungkin dapat membina masa depan rakyat, hanya dengan keberanian kita dapat melangkah ke hadapan dan seperti mana para pengasas kita dahulu berani mengimpikan sebuah negara. Saya ingin bertanya kepada semua, apakah impian yang akan menggerakkan langkah kita hari ini?
“Ambillah pengajaran daripada parti-parti lain di seluruh dunia yang seusia dengan kita, ramai yang telah lupus dan yang masih ada, tidak lagi segah dan sekuat dahulu. UMNO tidak boleh kita biarkan sedemikian,” katanya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti perlu sedar bahawa realiti politik sudah berbeza dan menandakan perlunya kebangkitan daripada ‘tidur’ sekiranya mahu kembali menerajui kerajaan.
Katanya, UMNO juga perlu mengakui bahawa parti itu tidak lagi menerajui kerajaan dan sedang berdepan perubahan ketara dalam corak sokongan pengundi Melayu.
“Kita perlu sedar, tetapi, tidak ada orang yang bangun sebelum sedar. Saya rasa dalam dewan ini kita seolah-olah berasa kita mempunyai kuasa mutlak, tetapi hakikatnya kita hanya ada 26 kerusi,” katanya.
Johari berkata, pengundi masa kini lebih cenderung menilai parti berdasarkan isu ekonomi dan kurang bertoleransi jika sesuatu parti berhadapan dengan skandal.
Katanya, perkara seperti ini mungkin boleh kita ‘wayang’ dalam kalangan sendiri, tetapi di luar sana dalam tempoh masa tertentu, ia menyebabkan kepercayaan rakyat semakin terhakis.
“Berbeza dengan generasi terdahulu, pengundi hari ini tidak lagi mempunyai kesetiaan tetap kepada mana-mana parti. Terutamanya dalam kalangan generasi muda, mereka sangat menitikberatkan soal kredibiliti dan integriti sesebuah parti,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti perlu mengatur gerakan politik yang tersusun dan berautoriti terutama melalui Rumah Bangsa
Katanya, UMNO juga perlu tampil dengan imej baharu yang lebih segar, sederhana dan inklusif selaras dengan konsep Rumah Bangsa yang merentas ideologi serta latar belakang.
“UMNO mesti menampilkan imej baharu yang lebih segar, kontemporari dan lebih muda, rumah bangsa adalah milik semua tanpa syarat selagi tidak menyalahi prinsip perjuangan parti.
“Parti mesti menerima hakikat bahawa banyak idea unggul berada di luar lingkungan parti dan semua ini perlu dipusatkan di bawah satu penggerak utama iaitu Rumah Bangsa,” katanya.
– UTUSAN











