UMNO lebih stabil berbanding Bersatu, PKR - Khairy

UMNO lebih stabil berbanding Bersatu, PKR – Khairy

KHAIRY Jamaluddin ketika ditemui pemberita pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO mempunyai kekuatan dalaman yang kukuh berbanding parti lain dan menunjukkan prestasi baik dalam pentadbiran negeri di bawah naungannya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jika UMNO dapat membina naratif berasaskan kestabilan dan prestasi, beliau yakin parti itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Malah, beliau berkata, menteri daripada UMNO juga menunjukkan prestasi yang baik dan tidak terlibat dalam sebarang skandal besar.

“Saya rasa kita (UMNO) lebih kuat berbanding parti-parti lain. Jika dibandingkan dengan PKR dan Bersatu, mereka berdepan krisis dalaman yang lebih serius.

“Malah, pandangan umum dan kritikan juga lebih banyak tertumpu kepada menteri bukan daripada UMNO.

“Menteri UMNO secara keseluruhannya kurang berdepan kritikan,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Diminta mengulas mengenai kedudukannya dalam parti, Khairy berkata, beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi ketika ini.

Namun, Khairy berkata, beliau telah diminta untuk meneliti dan memberi pandangan terhadap beberapa perkara tertentu.

“Bagaimanapun, terlalu awal untuk saya kongsikan perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×