Pemandu e-hailing gesa kerajaan tetap segera kadar tambang minimum

Pemandu e-hailing gesa kerajaan tetap segera kadar tambang minimum

RATUSAN pemandu e-hailing menuntut kebajikan dibela pada Perhimpunan Aman Hari Pekerja di Dataran Merdeka, di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membela kebajikan pemandu e-hailing yang didakwa terus terjejas khususnya melibatkan struktur komisen dan kadar tambang.

Pengerusinya, Zulkifli Othman berkata, langkah pentadbiran Indonesia di bawah Presiden Prabowo Subianto mengurangkan had komisen syarikat operator daripada 20 peratus kepada lapan peratus wajar dijadikan contoh dalam usaha melindungi kebajikan pekerja gig di negara ini.

Katanya, isu yang dihadapi pemandu e-hailing bukan lagi perkara kecil, sebaliknya melibatkan kelangsungan hidup mereka dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Di sini, kita masih lagi bermain dengan alasan birokrasi. Dulu beri dalih Majlis Perundingan Gig (MPGig), sekarang guna nama Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM). Jangan jadikan suruhanjaya ini sekadar perisai untuk menghalalkan kegagalan bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Aman Hari Pekerja di Dataran Merdeka, di sini semalam.

Perhimpunan bertemakan `Pekerja Bersatu – Tolak Perang, Lawan Rasuah’ itu turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan Marhaen Malaysia yang menuntut perubahan menyeluruh dalam ekosistem pekerjaan negara.

Kira-kira 100 pemandu e-hailing menyertai perarakan aman tersebut sebagai simbolik tuntutan hak mereka yang dilihat semakin terhimpit.

Zulkifli berkata, perjuangan kumpulan itu kini mendapat sokongan meluas masyarakat khususnya di media sosial seperti TikTok yang mencatatkan ribuan tontonan.

Katanya, sokongan tersebut mencerminkan kesedaran orang ramai terhadap ketidakadilan dalam struktur tambang sedia ada yang dianggap terlalu rendah.

“Kami mahu kerajaan segera menetapkan kadar tambang minimum. Operator e-hailing mengaut keuntungan besar, tetapi pemandu hanya menerima pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyara keluarga,” katanya.

Tambah beliau, masalah itu menjadi semakin serius apabila keputusan penting berkaitan kebajikan pemandu dibuat tanpa mengambil kira realiti sebenar di lapangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×