PETALING JAYA: Mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) menjadi antara topik ‘hangat’ yang disuarakan dalam perbincangan meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil-wakil pasukan, kelmarin.
Beberapa wakil kelab menyuarakan pandangan agar mutu pengadilan Liga M diperbaiki susulan beberapa keputusan kontroversi pengadil dalam saingan liga sebelum ini yang menimbulkan perdebatan terbuka.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, isu pengadil merupakan antara tiga cadangan dikemukakan pihaknya dalam sesi meja bulat itu.
Beliau berkata, cadangan pertama adalah mencadangkan MFL mempertimbangkan penubuhan badan pengadil profesional yang bebas daripada yang sedia ada sekarang.
“Saya berasa ini satu perkara yang Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga pernah bawa beberapa tahun lalu yang mana kali ini adalah masa terbaik untuk kita cuba memperkasakan lagi, meningkatkan integriti dan kepercayaan terhadap Liga Malaysia.
“MFL sudah melakukan yang terbaik untuk meletakkan bola sepak kita di tahap yang kita berada hari ini. Namun, kita harus sentiasa bergerak ke depan, bagaimana kita boleh bawa lagi Liga Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
“Jadi pengenalan ataupun pertimbangan penubuhan badan profesional pengadil yang bebas akan menjadikan Liga Malaysia yang orang cakap ‘role model’ ataupun satu penanda aras yang baik di peringkat Asia atau ASEAN,” kata Johan.
Selain isu pengadilan, antara usul lain yang dibawa Johan ialah mencadangkan agar MFL mempertimbangkan lebih banyak wakil-wakil kelab dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Sementara itu, Pengurus Besar DPMM FC, Md. Ali Momin berkata, mutu pengadilan wajar ditekankan supaya keputusan yang dibuat pengadil dalam setiap perlawanan lebih konsisten dan tepat bagi mewujudkan aksi lebih menarik.
“DPMM FC cuma memberi maklum balas mengenai pembabitan kami dalam Liga Super. Kami tekankan isu mutu pengadilan yang mana beberapa keputusan pengadil perlu konsisten untuk memeriahkan suasana perlawanan.
“Keputusan yang tidak konsisten mengakibatkan satu perlawanan kurang menarik. Jadi kita sarankan pihak pengadil lebih teliti untuk membuat keputusan setiap dalam perlawanan,” kata Md. Ali. – UTUSAN










