Ikon tanaman cili pasrah kebun musnah dijilat api

Ikon tanaman cili pasrah kebun musnah dijilat api

WAN Mohd. Nazmi Wan Mohd. Najib menunjukkan polibeg untuk penanaman cili baharu musnah dalam kebakaran di kebunnya di Gong Machang dekat Kampung Beting Lintang, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang usahawan yang dikenali sebagai ikon penanaman cili di Terengganu pasrah apabila kebun cili besar merah yang diusahakannya secara fertigasi sejak tujuh tahun lalu, musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Wan Mohd. Nazmi Wan Mohd. Najib, 40, berkata, kejadian itu mengakibatkannya kerugian kira-kira RM300,000 selepas 10,000 polibeg bersama sistem pengairan dan fasiliti tanaman itu yang baru siap dibaik pulih pada Februari lalu, musnah tanpa sempat digunakan.

“Kebakaran ini dikatakan berpunca daripada kebakaran hutan Gelam yang terletak kira-kira satu kilometer dari kebun saya. Faktor cuaca terlampau panas dan angin mengakibatkan api cepat merebak sehingga ke kebun cili saya.

“Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 1.2 hektar dari pada empat hektar kebun saya. Selain itu, kawasan yang terbakar sepatutnya mula beroperasi kembali pada minggu depan selepas beberapa bulan proses baik pulih dilakukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Gong Machang dekat Kampung Beting Lintang, di sini.

Menurutnya, api sempat dikawal daripada terus merebak dengan bantuan pasukan bomba dan orang kampung.

Katanya, jika tidak dapat dikawal, api tersebut mampu memusnahkan keseluruhan kebunnya itu dalam sekelip mata.

“Tanaman cili ini saya bahagikan mengikut beberapa plot. Kebetulan plot sebelum­nya baru sahaja habis tuaian awal bulan lalu dan dijadual tanaman baharu pada plot di kawasan terbabit, namun tidak sempat kerana musnah dalam kebakaran.

“Kebiasaannya selepas tuaian, plot-plot terlibatkan direhatkan beberapa bulan sebelum penanaman semula, tetapi kali ini terpaksa menanamnya kembali bagi menggantikan sementara lokasi yang terbakar,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×