NEW YORK: Ketua agensi maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Isnin bahawa tiada asas undang-undang untuk mengenakan sebarang bayaran ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.
Perkapalan melalui laluan sempit itu telah terjejas teruk sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran pada akhir Februari.
Iran telah menutup laluan tersebut menyebabkan aliran minyak dan gas berkurangan secara mendadak serta melonjakkan harga.
AS pula menyekat pelabuhan Iran.
Teheran juga berkata, ia mahu mengenakan bayaran transit sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang berkekalan.
“Tiada asas undang-undang untuk mengenakan sebarang cukai, sebarang kastam atau sebarang bayaran ke atas selat untuk navigasi antarabangsa,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez dalam satu sidang media.
Angkatan bersenjata Iran akan mempunyai kuasa ke atas laluan perkapalan utama itu di bawah undang-undang cadangan negara tersebut untuk menguruskan laluan laut itu, kata seorang pegawai kanan pada Isnin.
Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara di Parlimen Iran, Ebrahim Azizi memberitahu televisyen kerajaan bahawa angkatan tentera sudah pun mengawal selat tersebut dan sedang berusaha melarang laluan kapal musuh.
Rang undang-undang itu juga memperuntukkan bahawa keuntungan kewangan daripada selat tersebut akan dibayar dalam mata wang rial Iran.
Bercakap di luar mesyuarat jawatankuasa perlindungan maritim IMO, Dominguez berkata, beliau sedang berhubung dengan semua negara di rantau ini termasuk Iran.
Beliau turut menolak idea bahawa pembukaan semula laluan laut itu boleh melibatkan sebarang bayaran.
Dominguez juga berkata, operasi pemindahan yang dirancang untuk kira-kira 20,000 kelasi yang kini terkandas di kapal di Teluk hanya boleh dilaksanakan selepas selat itu benar-benar selamat.
Laluan perkapalan itu kekal menjadi isu utama dalam rundingan antara Washington dan Teheran, walaupun gencatan senjata rapuh yang bermula pada 8 April masih bertahan. – AFP










