Bersatu Selangor perlu keluar zon selesa

Bersatu Selangor perlu keluar zon selesa

HARRISON Hassan ketika berucap di Konvensyen Bersatu Selangor di IDCC di sini, hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor perlu keluar daripada zon selesa dan membuktikkan parti diterima oleh pengundi di kawasan masyarakat campuran dalam usaha menawan Selangor.

Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Datuk Harrison Hassan berkata, keputusan pilihan raya lalu menunjukkan Bersatu mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu, namun cabaran sebenar parti adalah terletak pada keupayaan menembusi kawasan masyarakat campuran.

Beliau berkata, kawasan campuran menjadi medan penentuan masa depan politik Selangor kerana parti berkenaan tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama atau berpolitik secara defensif.

“Bersatu perlu menyerang dengan idea, menawan rakyat melalui dasar dan memimpin dengan teladan sekiranya mahu dilihat sebagai pilihan kerajaan baharu di Selangor,” katanya berucap pada Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Harrison berkata, parti itu juga perlu membawa tawaran ekonomi yang lebih jelas kerana Selangor tidak boleh hanya dibanggakan melalui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan simpanan negeri yang besar.

Katanya, realiti rakyat Selangor hari ini lebih dekat dengan tekanan kos sara hidup, harga rumah, kadar sewa, peluang pekerjaan dan kenaikan kos harian berbanding angka ekonomi yang dibentangkan dalam laporan rasmi.

“Rakyat hari ini tidak bertanya berapa KDNK kita tahun ini, rakyat hanya bertanya cukup tak duit hujung bulan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan paradoks Selangor sebagai negeri kaya tetapi masih mempunyai rakyat yang terhimpit dengan tekanan hidup harian.

Tambahnya, Bersatu perlu tampil dengan pendekatan lebih berani termasuk menghidupkan semula agenda peduli rakyat, memperluas subsidi pengangkutan awam kepada golongan rentan dan memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, parti juga perlu membawa Selangor daripada ekonomi berkapasiti rendah kepada ekonomi bernilai tinggi melalui pembangunan hab semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data dan ekonomi digital.

Beliau berkata, tumpuan itu perlu disertai pemindahan teknologi kepada anak tempatan, penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi serta pembangunan industri di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Bersatu Selangor perlu membawa politik sederhana dan menolak sentimen kaum kerana negeri memerlukan pendekatan yang mampu mengurus kepelbagaian masyarakat secara matang.

“Parti perlu memperkasa dialog komuniti, menggerakkan belia pelbagai latar belakang dan memperkukuh program rentas budaya secara konsisten bagi membina kepercayaan rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×