TBILISI: Kebakaran hutan yang melanda Georgia memusnahkan lebih daripada 15,985 hektar kawasan dan membakar lebih 120 rumah, menurut pihak berkuasa.
Dua kebakaran besar di bahagian tenggara negeri itu, Jalan Pineland dan Lebuhraya 82, mendorong Gabenor Georgia, Brian Kemp mengisytiharkan darurat selama 30 hari di 91 daripada 159 daerah.
Pengarah Suruhanjaya Perhutanan Georgia (GFC), Johnny Sabo berkata, keadaan semasa amat kering sehingga percikan api kecil boleh cepat merebak menjadi kebakaran hutan yang berbahaya.
“Ketika ini keadaan sangat kering sehingga walaupun hanya satu percikan kecil boleh cepat bertukar menjadi kebakaran hutan yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan video.
Dalam pada itu, pegawai kecemasan turut bertungkus-lumus memadamkan beberapa kebakaran kecil lain, dengan 32 kebakaran hutan baharu dilaporkan kelmarin yang memusnahkan kira-kira 20.23 hektar kawasan.
“Keadaan kemarau yang dihadapi ketika ini berada pada tahap ekstrem, dan aktiviti kebakaran hutan melepasi purata lima tahun kami,” kata Sabo.
Kebakaran mula tercetus pada 18 April, sebelum Kemp mengisytiharkan darurat empat hari kemudian.
Menurut Suruhanjaya Perhutanan Georgia (GFC), belon foil yang terkena talian elektrik dipercayai menjadi punca kebakaran Lebuhraya 82, yang setakat ini memusnahkan kira-kira 3,035 hektar kawasan.
Pihak suruhanjaya itu berkata, kebakaran berkenaan setakat ini berjaya dikawal sekitar 10 peratus.
Katanya, percikan api daripada operasi kimpalan dipercayai menjadi punca kebakaran Jalan Pineland, memusnahkan kira-kira 12,950 hektar kawasan.
Pegawai dalam kemas kini pada Jumaat berkata, sekurang-kurangnya 35 struktur kecil musnah dalam kebakaran Pineland, manakala 187 rumah lagi diancam kebakaran.
Sebanyak 91 daerah di negeri itu turut dikenakan larangan pembakaran di kawasan terbuka, yang melarang membakar sampah dan bahan pertanian.- AGENSI











