KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud mendakwa sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa telah mengganggu kelancaran Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB-YB hari ini.
Menurut beliau, konvoi yang dianjurkan secara notis singkat itu berjaya menarik penyertaan lebih 500 penunggang, namun berdepan beberapa sekatan sepanjang laluan.
“Sepanjang perjalanan dari kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, kita kira ada tujuh sekatan jalan raya.
“Jika tiada sekatan yang tidak perlu itu, jumlah peserta mungkin lebih ramai,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut di Lembah Sireh di sini hari ini.

Wan Rohimi mendakwa sekatan tersebut dilihat seolah-olah bertujuan menyekat pergerakan konvoi, namun peserta tetap meneruskan perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif tanpa gangguan.
Mengulas lanjut, ADUN Melor itu berkata, tindakan itu tidak wajar memandangkan kebanyakan peserta memenuhi syarat ditetapkan.
“Geng motor yang terlibat semuanya cukup syarat dari segi lesen, cukai jalan dan kelas. Jadi tiada isu sebenarnya,” ujarnya.
Wan Rohimi berkata, dakwaan kononnya gejala ‘mat rempit’ di Kelantan sebagai masalah besar disifatkan tidak tepat, sebaliknya isu itu sengaja dipolitikkan untuk memburukkan imej kerajaan negeri.
Katanya, perkara tersebut tidak wajar diperbesarkan sehingga dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ia bukan satu krisis serius.
“Tiadanya masalah besar sehingga perlu digambarkan sebagai barah. Hakikatnya, perkara itu sudah lama selesai dan tidak perlu diperbesarkan.
“Tindakan membangkitkan isu tersebut semasa persidangan DUN lebih menjurus kepada cubaan menggambarkan kerajaan negeri gagal menyediakan kemudahan kepada ‘geng-geng’ motosikal.
“Ini bukan soal kebajikan semata-mata, tetapi lebih kepada usaha memburukkan kerajaan negeri dengan naratif bahawa tiada apa dilakukan untuk anak muda,” ujarnya.
Wan Rohimi berkata, pihaknya tidak memasuki kawasan pekarangan LTSIP sebagai tanda menghormati peraturan serta mengelakkan gangguan bunyi.
“Pihak LTSIP ada hubungi wakil kita dan kami maklumkan tidak masuk ke kawasan premis tersebut. Kita lalu saja,” jelasnya.
Sebelum itu, isu ini menjadi hangat apabila ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim membangkitkan isu ‘mat rempit’ yang berlaku di LTSIP Pengkalan Chepa semasa sidang DUN pada Selasa.
Wan Rohimi kemudiannya bangun menyanggah kenyataan tersebut dan kemudian mengajak anak muda untuk sama-sama menyertai konvoi bermotosikal hari ini.
Ia melibatkan laluan Kota Lama-LTSIP Pengkalan Chepa-Bandar-belakang AEON Mall.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah bekerjasama dengan polis trafik bagi mengadakan sekatan jalan raya serta memeriksa semua motosikal yang memasuki kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu petang ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, arahan itu dibuat bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi lapangan terbang susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan menganjurkan konvoi Mat Motor ke lokasi berkenaan.
Katanya, pemeriksaan akan dilakukan tanpa pengecualian termasuk melibatkan mana-mana wakil rakyat yang menunggang motosikal.-UTUSAN










