Kerajaan pertimbang pas masuk khas pelayar antarabangsa

Kerajaan pertimbang pas masuk khas pelayar antarabangsa

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra bersama pelancong antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan imigresen di Pelabuhan Telaga Harbour di Pantai Kok, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan pas khas kepada pelayar antarabangsa yang memasuki negara ini menggunakan kapal layar untuk mengatasi kekangan tempoh pas lawatan sosial sedia ada.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara isu utama yang menjadi perhatian adalah tempoh pas lawatan sosial yang tidak selari dengan tempoh penyelenggaraan atau pembaikan kapal layar.

Katanya, terdapat keperluan untuk mewujudkan satu mekanisme khusus bagi memudah cara kemasukan dan tempoh tinggal golongan tersebut mengikut masa yang sewajarnya.

“Kalau mereka hanya diberikan pas pelawat sosial biasa yang ada tempoh, katalah 30 hari atau 90 hari mengikut negara asal dan pada ketika kapal layar yang singgah itu perlu diselenggara sedangkan tempoh tinggal 30 atau 90 hari itu berlalu. 

“Apakah kita akan mempertimbang satu pemberian pas yang khusus untuk memudahkan mereka, saya cenderung ke arah itu. Saya akan bincang dengan Ketua Pengarah Imigresen, kalau memerlukan nasihat Peguam Negara kita akan tengok akta mana, peraturan imigresen mana yang boleh kita guna,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pelabuhan Telaga Harbour di Pantai Kok dan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Teluk Ewa di sini, hari ini.

Golongan pelayar merupakan segmen pelancong berprofil tinggi dengan kuasa perbelanjaan yang signifikan, sekali gus mampu memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor.

Saifuddin berkata, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia, khususnya Langkawi kekal sebagai destinasi pilihan pelayar antarabangsa dengan memudah cara kemasukan segmen itu.

“Pelancong dari China secara purata berbelanja sekitar RM7,000, manakala pelancong dari Asia Barat antara RM11,000 hingga RM12,000. Namun, pelayar mencatatkan perbelanjaan jauh lebih tinggi sehingga mencecah tujuh angka.

“Ini adalah segmen pelancong gred A yang memberi kesan limpahan ekonomi sehingga ke peringkat bawah melalui kuasa perbelanjaan mereka,” katanya.

Katanya, perkhidmatan imigresen bukan penghalang kepada kemasukan pelancong tetapi berperanan sebagai pemudah cara, apatah lagi Langkawi mempunyai kelebihan tersendiri sebagai produk pelancongan bersepadu dengan ekosistem lengkap serta infrastruktur yang munasabah.

“Imigresen fokus untuk memastikan urusan di pintu masuk negara berjalan lancar tanpa sebarang kekangan. Kita mahu proses ini bersifat seamless, sama ada melibatkan pergerakan manusia atau barangan. Jika berlaku kesesakan atau kelewatan, itu kita anggap sebagai kegagalan.

“Apabila sistem penyampaian kita cekap, ia menjadi faktor penarik kerana pelancong tidak berdepan kesukaran berurusan dan ini memberi pengalaman yang positif kepada mereka serta membentuk persepsi terhadap negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×