PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengembalikan semula perintah larangan penerbitan buku ‘When I Was A Kid 3’ oleh pereka ilustrasi Cheeming Boey.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Supang Lian yang bersidang bersama Hakim Datuk Choo Kah Sing dan Hakim Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman memutuskan demikian selepas mendapati, tiada kekhilafan yang dibuat Mahkamah Tinggi yang membolehkan keputusan itu dipinda.
Panel terbabit turut memerintahkan KDN membayar kos RM30,000 kepada Boey.
Pada 27 Jun 2023, puluhan rakyat Indonesia berhimpun di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantah pencetakan dan penjualan novel grafik itu atas dakwaan ada halamannya yang menghina pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.
Ekoran bantahan tersebut, KDN pada 25 September 2023 menguatkuasakan larangan ke atas buku tersebut di bawah Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
KDN dalam kenyataan menyatakan, buku itu mengandungi bahan yang berkemungkinan memudaratkan moral.
Peguam Kanan Persekutuan, Shahidah Nafisah Leman yang mewakili KDN menghujahkan bahawa kandungan dalam buku tersebut yang menyentuh mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia adalah sesuatu tidak sopan.
Shahidah Nafisah berkata, Kerajaan Indonesia telah menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra menyatakan rasa tidak puas hati terhadap buku berkenaan.
Sementara itu, peguam Gregory Das berkata, buku itu telah berada di pasaran lebih 10 tahun sebelum ia diharamkan.
“Keputusan untuk mengharamkan tidak boleh dibenarkan atas alasan tindakan perlu diambil di sini hanya kerana bantahan di luar Malaysia,” katanya.
Buku ‘When I Was A Kid 3’ pertama kali diterbitkan pada 2014 sebelum diharamkan.
Dalam kontroversi itu, Boey menceritakan bagaimana pembantu rumah Indonesia yang bekerja dengannya memanjat pokok kelapa dengan pantas, yang menyebabkan bapanya membuat komen yang mungkin dianggap menyinggung sesetengah pembaca.
Boey berkata, niatnya bukan untuk menyinggung sesiapa, sebaliknya untuk memuji kemahiran wanita tersebut. – UTUSAN











