WASHINGTON: Iran masih utuh walaupun mengalami kerugian, dan tidak akan menyerah kalah manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dianggap sudah letih dengn konflik di Asia Barat.
Bekas pakar risikan Israel mengenai Iran yang kini bersama Universiti Tel Aviv dan Majlis Atlantic, Danny Citrinowicz membuat rumusan itu dan berkata, Trump tidak mahukan peningkatan konflik.
“Saya tidak menyatakan ia tidak akan berlaku, tetapi beliau cuba menggunakan semua pilihan politik yang ada.
“Saya fikir Trump sudah letih dengan perang ini dan lebih daripada itu, beliau faham bahawa walaupun apa yang dikatakannya, kosnya hanya akan meningkat, bukan menurun, katanya seperti dilaporkan AFP.
JALAN SUKAR
Namun, pemimpin Iran sangat curiga terhadap Trump yang wakil rundingannya masih berbincang perjanjian beberapa hari sebelum AS dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lalu selepas rundingan nuklear antara Washington dengan Teheran gagal di Geneva, Switzerland.
Cara serangan itu adalah sama seperti pada Jun tahun lalu, apabila kedua-dua pihak berbincang sebelum kempen pengeboman Israel.
Kedua-dua pihak, Trump dan kepimpinan Iran sensitif terhadap sebarang tanggapan bahawa mereka mengalah dalam perang tersebut..
Dengan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran tanpa had masa, Trump dilihat sedang mencari jalan keluar daripada perang yang mahal, namun Teheran mungkin tidak bersedia memberinya kemenangan.
Trump pada Selasa melanjutkan tempoh gencatan senjata itu yang bermula pada 8 April lalu dan berakhir kelmarin mengikut waktu AS.
Bagaimanapun, beliau mengekalkan sekatan laut, yang menurut Iran mesti ditamatkan terlebih dahulu sebelum ia boleh mempertimbangkan sebarang perjanjian bagi menamatkan konflik yang dilancarkan oleh Israel dan AS.
Felo Kanan Institut Asia Barat, Alex Vatanka berkata:“Beliau (Trump) sebenarnya boleh terus memperhebatkan tindakan dan terlibat dalam aksi ketenteraan yang lebih melulu. Namun, setakat ini beliau telah berhenti daripada memburukkan lagi keadaan dirinya.”
“Dalam satu kemungkinan jalan keluar, AS boleh mengekalkan sekatan tersebut tetapi tidak menguatkuasakannya secara ketat. Iran akan tahu jika ia tidak dikuatkuasakan kerana perkara itu mudah diukur.
“Iran boleh menganggapnya sebagai kemenangan, tetapi jika berkeras mahukan pembukaan sepenuhnya, itu menunjukkan mereka lebih mementingkan persepsi daripada benar-benar mencapai perjanjian.
“Itu akan menjadi satu kesilapan di pihak mereka.”.
KERUGIAN
Menurut jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani dalam temu bual dengan agensi berita Russia RIA Novosti, anggaran awal menunjukkan Iran mengalami kerugian sebanyak AS$270 bilion (RM1 trilion) dalam kerosakan langsung dan tidak langsung sejak permulaan perang.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut seperti pecahan kerosakan, tetapi berkata, isu pampasan telah dibincangkan dalam rundingan antara Teheran dan Washington di Pakistan yang diadakan selama dua hari bermula 11 Aoril lalu.
Kerajaan berkata, ia masih menilai kerosakan besar terhadap infrastruktur kritikal Iran selepas kemudahan minyak, gas, syarikat petrokimia, kilang keluli dan aluminium menjadi sasaran berulang kali, selain kompleks ketenteraan.
Semua ini dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula sepenuhnya.
Jambatan, pelabuhan, rangkaian kereta api, universiti, pusat penyelidikan, beberapa loji janakuasa dan loji penyahgaraman air turut terkena serangan secara langsung, manakala sejumlah besar hospital, sekolah serta rumah orang awam rosak atau musnah.
AS juga dilihat kian berlembut apabila Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt mendakwa tindakan Iran melepaskan tembakan ke atas tiga kapal dan merampas dua daripadanya adalah tidak melanggar perjanjian dengan AS.
Iran menawan kapal MSC Francesca yang berdaftar di Panama dan Epaminodes yang berdaftar di Liberia selepas melepaskan tembakan ke arah kedua-duanya. Iran turut menyerang sebuah kapal bernama Euphoria berbendera Panama. Ketiga-tiga kapal itu tidak mempunyai kaitan dengan AS dan Israel.










