Pembanterasan rasuah perlukan sistem telus, pemimpin tegas

Pembanterasan rasuah perlukan sistem telus, pemimpin tegas

KETUA Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kanan) melakukan gimik pelancaran buku 2 Dekad INTEGRITI: Menjujung Amanah, Memacu Integriti pada Program Bual Bicara Integriti sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-22 IIM di Menara Integriti di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sistem yang telus serta kepimpinan yang tegas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, integriti perlu diperkukuh melalui budaya kerja yang menjunjung akauntabiliti bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan dibuat secara bertanggungjawab.

Katanya, prinsip bahawa jawatan bukan satu keistimewaan perlu dihayati bagi memastikan setiap tanggungjawab dipikul dengan integriti tinggi.

“Integriti tidak boleh bergantung semata-mata kepada peraturan dan penguatkuasaan tetapi mesti diperkukuh melalui sistem yang telus, kepimpinan yang tegas dan budaya kerja yang menjunjung akauntabiliti.

“Setiap jawatan yang disandang bukanlah untuk dibanggakan tetapi merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, kejujuran dan keikhlasan.

“Ini memberi pengajaran penting bahawa integriti tidak boleh bergantung semata-mata kepada peraturan dan penguatkuasaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) Ke-22 di Menara Integriti di sini hari ini.

Shamsul Azri yang juga Pengerusi IIM berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai reformasi bagi memperkukuh tadbir urus termasuk menambah baik sistem perolehan dan memperluas pendigitalan perkhidmatan awam.

Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan ruang ketirisan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Pelbagai langkah telah diambil seperti memperkukuh tatakelola kewangan awam dan disiplin perbelanjaan, selain menambah baik sistem perolehan kerajaan agar lebih telus dan kompetitif.

“Terkini, Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) merupakan inisiatif baharu yang sedang dibangunkan bagi memperkukuh agenda integriti negara secara lebih menyeluruh, moden dan berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×