KUALA LUMPUR: Advanced Defence Systems Sdn. Bhd. (ADS) dan Safran Electronics & Defense (Safran) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam integrasi sistem navigasi inersia lanjutan untuk keupayaan artileri Tentera Darat Malaysia (TDM).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengurus Besar ADS, Mejar Idris Yeop Hamzah dan Naib Presiden Jualan Safran bagi Malaysia, Xavier Mary sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Idris Yeop berkata, persefahaman strategik itu mencerminkan hasrat bersama kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing.
Beliau berkata, Safran mempunyai kepakaran dalam navigasi inersia dan keupayaan ADS pula dalam integrasi sistem dan penyelenggaraan.
“Ia bagi menyokong potensi program masa hadapan yang melibatkan sistem artileri 105 millimeter (mm) dan 155mm untuk TDM.
“Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan niat baik untuk meneroka peluang berkaitan penyelesaian penentuan kedudukan, navigasi dan pemasaan (PNT).
“Khususnya memberi tumpuan kepada integrasi Unit Navigasi Inersia Geonyx milik Safran ke dalam platform artileri seperti sistem 155mm G5 dan 155mm Self-Propelled Howitzer (SPH),” katanya selepas majlis tersebut sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Idris Yeop berkata, satu kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan bagi menilai kemungkinan kerjasama lanjut, menentukan potensi pembahagian kerja, serta menilai keperluan pasaran.
Katanya, ia bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan keupayaan ketepatan bagi sistem artileri moden.
“MoU ini berfungsi sebagai rangka kerja bagi perbincangan berterusan antara kedua-dua pihak. Sebarang kerjasama pada masa hadapan tertakluk kepada perjanjian muktamad yang berasingan,” katanya. – UTUSAN











