KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi tumpuan kepada projek dan inisiatif memberi pulangan nilai maksimum serta manfaat langsung kepada rakyat dalam mendepani suasana ekonomi global tidak menentu yang boleh menjejaskan unjuran Belanjawan 2026.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, ia adalah antara langkah proaktif diambil oleh kerajaan negeri selain mengamalkan tadbir urus kewangan berdisiplin.
“Sepertimana kita sedia maklum, suasana ekonomi global tidak menentu yang boleh menyebabkan perancangan awal kerajaan negeri menerima kesan dari segi perbelanjaan dan pelaksanaan program.
“Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam menghadapi situasi tersebut termasuk memastikan setiap perbelanjaan negeri diurus dengan penuh integriti, cekap dan berhemah bagi menjamin kemapanan fiskal,” katanya.
Beliau menjawab soalan Abdul Hadi Awang Kechil (Pas-Kuala Balah) berkaitan mekasnisme pemantauan ditetapkan bagi memastikan Belanjawan 2026 dilaksana mengikut skop, kos dan garis masa ditetapkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, kerajaan negeri juga memperkukuh hubungan kerjasama dengan Persekutuan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
“Pengukuhan hubungan dan sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan sangat penting bagi melancarkan pelaksanaan projek pembangunan nasional di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN











