SANDAKAN: Sebanyak 300 keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi di sini akan menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,500 sebagai bantuan bagi meringankan beban mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan berkenaan perlu disalurkan segera supaya mangsa mendapat sedikit kelegaan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
“Saya mahu saluran itu disampaikan segera, saya tidak mahu bertangguh kerana keluarga itu harus mendapat jaminan,” katanya ketika meninjau keadaan mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini semalam.
Katanya, bantuan itu bagaimanapun bukanlah penyelesaian menyeluruh sebaliknya langkah sementara bagi membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas akibat kebakaran berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan bantuan tunai tambahan sebanyak RM300 kepada setiap murid warganegara yang terjejas.
Ia bagi membolehkan mereka membeli keperluan persekolahan seperti pakaian seragam dan buku dengan kadar segera.
Katanya, bantuan itu diberikan bagi memastikan anak-anak mangsa kebakaran dapat kembali ke sekolah tanpa perlu menunggu terlalu lama walaupun berdepan kesukaran selepas kehilangan rumah dan barangan keperluan.
“Saya dimaklumkan ada anak-anak yang tidak pergi ke sekolah kerana tiada uniform. Jadi saya mahu mereka terus ke sekolah mulai esok dan diberi kelonggaran untuk tidak memakai uniform buat sementara waktu.
“Kerajaan Malaysia juga menambah RM300 bagi setiap pelajar supaya uniform, buku dan keperluan sekolah lain dapat dibeli segera,” katanya.
Beliau berkata, bantuan itu akan memanfaatkan seramai 454 murid warganegara membabitkan 12 sekolah sekitar kawasan berkenaan.
Selain itu, kerajaan Persekutuan turut memberi jaminan semua dokumen penting milik mangsa yang musnah dalam kejadian itu akan diganti secara percuma.
Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara akan turun padang ke kawasan berkenaan bagi memudahkan proses pendaftaran semula dan penggantian dokumen mangsa terjejas.
“Kita akan pastikan sijil kelahiran, MyKid, MyKad, sijil kematian dan sijil perkahwinan termasuk bagi bukan Islam akan diberikan semula malah kosnya ditanggung dan tidak perlu dibayar,” katanya.
Selain itu, katanya, perancangan jangka sederhana dan panjang termasuk pembangunan semula perumahan mangsa akan dibincangkan lebih lanjut di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan.
Kira-kira 1,000 buah rumah di perkampungan atas air dekat Kampung Bahagia, Batu Sapi di sini musnah dalam kebakaran awal pagi, Ahad lalu.
Ia adalah kebakaran kali ketiga pernah berlaku di kampung berkenaan namun merupakan paling besar selepas kejadian pada tahun 1994 dan 2001.-UTUSAN.










