Krisis tenaga: Kerajaan teliti isu gangguan bekalan bahan petrokimia - Utusan Malaysia

Krisis tenaga: Kerajaan teliti isu gangguan bekalan bahan petrokimia

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti lanjut isu gangguan rantaian bekalan bahan petrokimia yang dilihat berpotensi menjejaskan rantaian pembungkusan makanan dan barangan tempatan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu sama turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) semalam susulan kesan gangguan global terhadap sektor itu.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa gangguan terhadap bekalan bahan petrokimia bukan sahaja melibatkan plastik, malah turut menjejaskan pengeluaran bahan asas lain seperti ammonia, urea dan helium yang digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak kerajaan cakna, faham dan prihatin terhadap kesan kepada rantaian bekalan akibat penutupan Selat Hormuz.

“Beberapa penelitian tambahan masih perlu dilaksanakan dan dapatan berkenaan dijangka dibincangkan semula dalam mesyuarat (MTEN) minggu hadapan,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Katanya, sebagai langkah awal bagi membantu syarikat yang terkesan, Association of Banks in Malaysia telah mengumumkan beberapa inisiatif dan kelonggaran termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh berunding dengan bank bagi mendapatkan kemudahan kewangan sedia ada.

Jelasnya lagi, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan operasi industri, khususnya sektor pembuatan dan pembungkusan makanan, tidak terjejas secara ketara sekiranya gangguan bekalan bahan mentah berterusan.

Pada 17 April lalu, Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) mendakwa industri pembuatan plastik negara dijangka terus mengalami ketidaktentuan dalam jangka masa pendek hingga sederhana susulan krisis di Asia Barat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) supaya kuota 300 liter BUDI RON95 dikekalkan buat pengamal media masih dalam pengetahuan MTEN dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

Katanya, setakat ini perkara berkenaan belum dibincangkan secara khusus kerana tumpuan mesyuarat semalam melibatkan sektor lain di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MITI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini