KUALA LUMPUR: Pergolakan dalaman parti komponen boleh menjadi punca Perikatan Nasional (PN) ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kegagalan menangani isu dalaman akan melemahkan gabungan dan menjejaskan keupayaan PN untuk memperoleh mandat penuh rakyat bagi membentuk kerajaan.
“Walaupun Gerakan tidak mahu campur tangan dalam masalah parti lain namun kami berharap setiap parti politik dalam PN dapat menyelesaikan masalah mereka, sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Gerakan sendiri.
“Ia bukan sahaja menunjukkan kelemahan semua komponen parti dalam PN malah boleh menjadi punca PN tidak mendapat mandat sepenuhnya daripada rakyat untuk menjadi kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, krisis dalaman tersebut perlu diselesaikan segera supaya kepercayaan rakyat dapat dikembalikan berikutan masyarakat ketika ini dakwanya tidak yakin pada kerajaan.
“Kalau masalah dalaman ini tidak selesai, bagaimana kita nak menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang?
“Bagaimana rakyat mahu beri kepercayaan kepada kita sekiranya krisis dalaman tidak diselesaikan lagi,” katanya Hoe Chai lagi.-UTUSAN.










