PETALING JAYA: Seramai 143 petugas kesihatan menerima pemangkuan dan kenaikan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam perkhidmatan kesihatan negara.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 105 pegawai menerima pemangkuan jawatan manakala 38 lagi dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi serta sumbangan kepada perkhidmatan kesihatan negara.
“KKM sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan petugas kesihatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan kerjaya sehingga ke hari ini.
“Pengiktirafan ini adalah atas prestasi, dedikasi serta sumbangan besar mereka terhadap
perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Tambah KKM, pengiktirafan tersebut melibatkan pelbagai skim perkhidmatan dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kekosongan jawatan serta keperluan perkhidmatan.
“Urusan ini melibatkan pelbagai skim perkhidmatan dan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan kekosongan jawatan serta keperluan perkhidmatan.
“Langkah ini selaras dengan usaha KKM untuk memantapkan kepimpinan organisasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat kekal cekap dan berkesan,” katanya.
KKM turut kekal komited untuk terus menambah baik langkah sedia ada bagi memastikan kebajikan serta pembangunan profesional petugas kesihatan sentiasa diberi perhatian.
“Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen KKM dalam menyediakan laluan kerjaya yang telus dan berasaskan merit.
“KKM akan terus menambah baik langkah-langkah sedia ada bagi memastikan kebajikan serta pembangunan profesional warga kerja sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










