Rampasan e-waste RM3.09 juta bongkar sindiket, kilang haram dikesan

Rampasan e-waste RM3.09 juta bongkar sindiket, kilang haram dikesan

MOHD. Asri Seman menunjukkan bahan sisa elektronik atau e-waste yang dirampas dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Diraja Daerah Bentong di Bentong Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Rampasan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM3.09 juta di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini membongkar jaringan penyeludupan bahan terlarang yang masih aktif di negara ini.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan lima kontena mengandungi e-waste di CFS-CHOLD Yard North Port, Pelabuhan Utara hasil kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

Katanya, rampasan pertama tahun ini itu melibatkan jumlah seberat 88,392.12 kilogram dengan nilai anggaran RM3,093,724.20, selepas pemeriksaan lanjut mendapati bahan tersebut diimport dengan pengikraran tidak benar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada lima kontena bersaiz 12.2 meter yang ditahan, tiga diimport dari Amerika Syarikat manakala masing-masing satu dari Panama dan Sepanyol. Modus operandi sindiket adalah dengan mengisytiharkan barangan sebagai bahan lain bagi mengelak dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Diraja Daerah Bentong, di sini hari ini.

Mohd. Asri berkata, kegiatan penyeludupan sisa elektronik dari luar negara dipercayai didorong keinginan mendapatkan bahan berharga seperti emas, tembaga dan aluminium yang terkandung dalam komponen tersebut.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati bahan berkenaan diikrarkan sebagai Copper Concentrate dan Acrylonitrile-Butadiene-Styrene (ABS) Plastic, sedangkan ia sebenarnya adalah e-waste yang dilarang import tanpa kelulusan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan bertentangan dengan undang-undang.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti syarikat terlibat termasuk kemungkinan wujud kilang haram memproses e-waste di negara ini.

Menurutnya, walaupun kerajaan mengharamkan kemasukan e-waste tanpa kelulusan, sindiket masih cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan taktik penipuan dokumen bagi mengaburi pihak berkuasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini